Keluar ke kebun tapi tak balik-balik selepas 3 hari

Anggota penyelamat diberikan taklimat sebelum memula pencarian hari ini. Gambar kecil, Mohd Nazari Anjang Latif.
Anggota penyelamat diberikan taklimat sebelum memula pencarian hari ini. Gambar kecil, Mohd Nazari Anjang Latif.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki berusia 56 tahun dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.

Mohd Nazari Anjang Latif dari Kampung Paya Renggam, Padang Rengas difahamkan keluar ke kebun getah pada tarikh tersebut dan tidak pulang sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan lelaki itu dipercayai hilang selepas keluar ke kebun getah pada jam 10 malam 28 Februari lalu di Kampung Kroh Hulu, Padang Rengas.

"Kita masih menjalankan operasi mencari mangsa di kawasan berhampiran dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Anjing Pengesan (K9).

"Jumlah keseluruhan anggota penyelamat lebih 80 orang termasuk orang awam," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Kuala Kangsar memaklumkan mengenai kehilangan individu tersebut, semalam.

"Pencarian dilakukan dalam lingkungan satu kilometer persegi dari lokasi terakhir motosikal mangsa ditemui dan disyaki hilang.

"Seramai tujuh anggota bomba bersama beberapa agensi lain serta bantuan sukarelawan penduduk kampung membantu menjejaki mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan: