Kerajaan tidak mahu bergantung kepada vaksin luar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos lalu dan pengenalan barisan kabinet baru pada Jumaat lalu, kita dapat melihat beberapa tindakan telah dilaksanakan oleh kepimpinan baharu tersebut terutamanya dari segi mencapai ke arah imuniti kelompok.

Ismail Sabri dalam lawatan kerjanya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad telah mendedahkan sedikit sebanyak mengenai langkah kerajaan yang bakal dilaksanakan untuk menangani pandemik Covid-19 dalam negara ini.

Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan menunggu bekalan vaksin luar yang lambat membuat penghantaran.

Ujar beliau, kerajaan bersedia untuk beralih kepada vaksin yang sedia ada jika vaksin yang dibekalkan itu mengalami masalah kelewatan.

Ahli Parlimen Bera menjadikan syarikat farmaseutikal yang terkemuka, Pharmaniaga Bhd sebagai contoh pembekal vaksin untuk negara ini kerana kilang mereka membuat penyediaan untuk vaksin Sinovac.

Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mahu terus bergantung sepenuhnya kepada vaksin daripada negara luar malah mahu mempunyai alternatif yang tersendiri.

Ia kerana sekiranya berlaku kelewatan dalam pembekalan vaksin dalam negara, ia akan menjejaskan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dan kesudahannya rakyat yang akan menjadi mangsa.

Selain itu, Ismail Sabri menyatakan matlamatnya untuk memastikan enam negeri melebihi 50 peratus kadar vaksinasi pada akhir September ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendedahkan enam negeri itu masih mempunyai kadar vaksinasi kurang daripada 50 peratus termasuk Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah.

“Ada enam negeri yang masih belum mencapai 50 peratus iaitu Terengganu (46.2 peratus), Perak (46.5 peratus), Johor (44.9 peratus), Kelantan (43.2 peratus), Kedah (43 peratus) dan Sabah paling kurang iaitu 37.1 peratus.

"Jadi saya nak (enam negeri berkenaan melebihi daripada 50 peratus kadar vaksinasi) sebelum akhir bulan September, kalau boleh lebih awal lagi.

Jelasnya, perkara itu telah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Apa yang dapat dijangkakan berkemungkinan kerajaan akan menyusun strategi bagi memastikan semua proses vaksinasi dipercepatkan di keenam-enam negeri berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah tentu akan membuat kenyataan berhubung perkara tersebut serta langkah-langkah untuk menanganinya.