Ketum tidak wajar ditanam di negara ini - Pakar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tanaman ketum di Malaysia adalah tidak wajar walaupun kerajaan Thailand mengambil langkah mengeluarkan tanaman itu daripada senarai dadah.

Pakar Kriminologi dan Koreksional, Dr Norruzeyati Che Mohd Nasir berkata, isu ketum memerlukan kajian yang sangat teliti dan berhati-hati memandangkan tanaman itu boleh memberi kesan baik dan buruk jika disalah guna.

Beliau berkata, usaha menyahjenayahkan ketum melalui perusahaan ketum memerlukan kajian sangat terperinci seperti tindakan sesetengah negara Barat menyahjenayahkan pelacuran serta penggunaan substans.

Menurutnya, kajian juga mendapati tanaman ketum mengandungi farmakologi aktif terutama mitraginin dan 7-hydroximitraginin serta boleh menyebabkan ketagihan.

“Mitraginin merupakan alkaloid yang dominan di dalam ketum namun jumlah mitraginin di dalam ketum tidaklah tetap dan ia berbeza mengikut kedudukan geografi di mana tempat ketum diperoleh.

“Alkaloid pula mampu memberi kesan yang baik dan faedah kepada pengguna namun dalam masa sama boleh memberi kesan buruk jika disalah guna.

“Selain mengandungi mitraginin, daun ketum juga mengandungi 24 bahan lain seperti ajmalin, korinantedin, mitafillin, paynantesin, speciophilin dan specioginin,” katanya kepada Sinar Harian.

Norruzeyati yang juga Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Asia Untuk Tadbir Urus Korporat (ARICG) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dari aspek jenayah, sesuatu tingkah laku dipandu oleh ‘keseronokan lawan kesengsaraan’ atau prinsip utilitarianisme.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, prinsip utilitarianisme memfokuskan kepada bilangan dan pengukuran dalam membuat pertimbangan antara keseronokan melawan kesengsaraan yang dikenali sebagai kalkulus hedonistik.

Bagaimanapun katanya, seseorang memilih untuk menyalah guna ketum kerana keseronokan yang diperoleh walaupun menyedari kesan buruk penggunaannya.

“Hasil kajian dilaksanakan terhadap remaja di Kedah menunjukkan mereka mengambil ketum secara berlebihan dan mencampurkan rebusan air ketum dengan bahan tertentu seperti ubat batuk, air berkarbonat, asam boi, serbuk ubat nyamuk dan ubat gegat.

“Campuran air ketum dengan bahan lain ini adalah amat bahaya dan memberi kesan buruk kepada sistem saraf badan serta mental individu.

“Pengambilan air ketum berlebihan boleh membawa kepada kematian,” kata beliau.