Jangan gadai etika dengan bahayakan nyawa orang lain

No Image Caption
A
A
A

BARU-BARU ini tular tangkap layar perbualan di WhatsApp antara individu yang enggan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 tetapi mahu membayar sejumlah wang semata-mata mahu mendapatkan sijil lengkap dua dos daripada kakitangan sebuah klinik swasta.

Bagaimanapun, berdasarkan perbualan tersebut, pihak klinik berkenaan enggan melayan permintaan individu itu dengan memberikan alasan mereka tidak boleh berbuat demikian kerana ia melanggar etika perubatan dan mengganggu program vaksinasi kerajaan.

Cubaan seumpama ini bukan perkara baharu sebaliknya kaedah membuat sijil vaksinasi palsu melalui kaedah cetakan di atas kad dalam talian pernah dilaporkan sebelum ini. Polis juga telah membuat siasatan terhadap perkara tersebut.

Difahamkan isu membeli sijil digital vaksinasi ini berlaku kerana ada pihak yang terdesak mahukannya selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada penerima dua dos vaksin Covid-19.

Kelonggaran tersebut termasuklah pasangan jarak jauh (PJJ) lengkap dua dos dibenarkan rentas daerah dan negeri bertemu pasangan masing-masing.

Apa yang menarik perhatian terhadap tangkap layar perbualan tersebut ialah reaksi warganet yang turut berkongsi pengalaman mereka termasuklah dakwaan bahawa berlaku pemalsuan berkaitan suntikan vaksin Meningococcal Meningitis Quadrivalent (ACYW135) yang menjadi syarat wajib bakal haji dan umrah.

Biarpun hanya dakwaan tetapi sekiranya benar-benar, ia berlaku amat malang kerana wujud pihak tidak bertanggungjawab mengambil mudah semata-mata kerana wang tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka.

Diharapkan doktor atau pihak terlibat dalam mengemas kini maklumat berkaitan sijil digital vaksinasi mengekalkan etika dan tidak mengejar wang semata-mata kerana kesannya besar kepada rakyat serta negara.

Artikel Berkaitan: