Kerajaan perlu serius tangani kos sara hidup

Mohd Razlan Rafii
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan PH perlu lebih serius menangani kos sara hidup rakyat dalam memastikan seluruh lapisan masyarakat dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Rafii berkata, menerusi mesyuarat Kabinet PH sebelum ini, kerajaan menyatakan kesediaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat namun pada masa sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula diarahkan untuk menaikkan tarif elektrik kepada peniaga.

Beliau berkata, langkah ini hanyalah satu tindakan bagi memainkan perasaan rakyat.

"Kerajaan PH telah meluluskan kos TNB bernilai RM1.82 bilion ini dipulangkan kepada pengguna, dan rakyat akan mula membayar kos ini bermula dari bulan Mac tahun ini.

"Sebagai rakyat, saya tak faham apa maksud menteri mahu menurunkan kos sara hidup, bagaimana mungkin kos ini akan turun sekiranya elektrik yang kena bayar setiap bulan meningkat 55 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kerajaan sedang menggandakan usaha bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau berkata, sejak PH menerajui negara, perkara itu sememangnya menjadi perhatian utama kerajaan dalam menyelesaikan isu berkaitan kos sara hidup rakyat.

Mengulas lanjut, Razlan berkata, kerajaan sepatutnya tidak bersetuju dengan permintaan TNB untuk meningkatkan tarif elektrik dan menunggu sehingga harga barangan mulai stabil.

"Hari ini, rakyat sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi, walaupun kerajaan memperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), harga di kedai-kedai harian tidak ada yang turun.

"Saya harap Kerajaan PH serius untuk membantu rakyat menjalani kehidupan yang selesa tanpa tekanan peningkatan kos setiap bulan," katanya.