11 produk UMK dipaten menerusi MyIPO

Inspirasi kepada penyelidik untuk terus hasilkan produk bermanfaat kepada masyarakat.

A
A
A
BACHOK - Sebanyak 11 produk penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) didaftarkan paten menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Program Bengkel Penyediaan Dokumen Pemfailan Paten anjuran Bahagian Komersialan dan Harta Intelek (ICD) di sini baru-baru ini.

Produk tersebut ialah Formulation for Polyhexamethylene Biguanide (PHMB), Graphene, Purified Water and Block Polymers for Skin Infections in Animal yang dihasilkan oleh Dr Nor Fadhilah Kamaruzzaman dan Dr Farhan Hanif Reduan, produk A Computerized Method For Talent Shortage Evaluation oleh Dr Mohd Ikhwan Aziz.

Produk Compost Machine oleh Ts Dr Maryana Binti Mohamad Nor, produk Method for Producing A Stable Hybrid Organic Nano - Reinforcement oleh Chm Ts Dr Nor Hakimin Abdullah dan produk A Method of Producing A Clay - Based Porous Ceramic for Thermal Insulating Application oleh Ts Dr Teo Pao Ter.

Selain itu, produk A Modular Furniture oleh Dr Muhamad Ezran Zainal Abdullah, Integrated Solar Dryer (INSOLER) oleh Profesor Ts Dr Arham Abdullah dan produk inovasi An Improved Method to Isolate DNA Using Organic Acid oleh Dr Jayaraj Vijaya Kumaran.

Turut dipatenkan Produk Microwave Absorption on SIC / Feldspar Susceptor oleh Profesor Madya Dr Azwadi Sulaiman, produk Human Intelligence Performance Prediction Based on Ai Methods dan Sim Artificial Intelligence System and Method for Sustainable Social Finance Data Prediction oleh Profesor Dr Raja Suzana Raja Kasim.

Pengarah ICD, Profesor Madya Ir Ts Dr Julie Juliewatty Mohamed berkata, 11 produk penyelidikan dan inovasi itu dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UMK sepanjang tahun ini.

Beliau menyifatkan pencapaian mendaftarkan paten pada tahun ini adalah rentetan kejayaan menfailkan sembilan permohonan paten pada tahun lalu.

“Pencapaian ini menjadi inspirasi bagi penyelidik UMK untuk terus menghasilkan produk yang boleh diketengah dan dikomersialkan serta memberi manfaat kepada masyarakat.

“Justeru, penganjuran bengkel seumpama ini bertujuan untuk memastikan proses penyediaan dokumen dan pendaftaran paten bagi melindungi harta intelek yang dihasilkan oleh penyelidik UMK dapat diselaraskan dengan penggunaan kos yang paling minimum,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, melalui kejayaan itu pihak UMK turut merancang untuk bekerjasama dengan usahawan-usahawan di Kelantan untuk melindungi harta intelek seperti hak cipta, cap dagang dan paten yang akan turut dilakukan bagi membantu mereka melindungi harta intelek tidak berdaftar.

“Bengkel Penyediaan Dokumen Pemfailan Paten pada Mac lalu diadakan dengan kerjasama pihak MyIPO bertujuan untuk membantu penyelidik menyediakan dokumen paten mengikut format dan dihasilkan 100 peratus oleh penyelidik UMK tanpa melibatkan ejen.

“Bengkel diadakan melalui inisiatif pelan strategik Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) dalam menjimatkan kos pendaftaran harta intelek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah RMIC, Profesor Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, kejayaan itu turut meletakkan UMK di kedudukan ke-14 dalam senarai ‘Top 30 Malaysian Patent Applicants in 2020’ yang dikeluarkan oleh MyIPO bagi tahun 2020.

“Melalui strategi ini, UMK dapat menjimatkan sumber kewangan universiti yang mana rata-rata kos pendaftaran adalah sekitar RM15,000 bagi satu paten.

“Selain itu, bengkel ini membolehkan pensyarah dan penyelidik didedahkan dengan perkongsian pengalaman dan kemahiran untuk menulis draf paten dengan cara yang betul dan dikongsi bersama staf akademik lain," katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu juga terhasil daripada sokongan berterusan daripada pihak pengurusan universiti dan juga bimbingan yang baik dari Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah.

“Saya berharap bengkel ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan mengadakan kerjasama antara universiti awam yang lain bagi membantu para penyelidik dalam pendaftaran harta intelek mereka,” katanya.