Royal Chulan Penang jadi PKRC berisiko rendah mulai 2 September

Royal Chulan Penang hotel kedua di Pulau Pinang yang dijadikan sebagai PKRC.
Royal Chulan Penang hotel kedua di Pulau Pinang yang dijadikan sebagai PKRC.
A
A
A

GEORGE TOWN - Hotel bertaraf empat bintang, Royal Chulan Penang di sini akan menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) berisiko rendah mulai 2 September ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, langkah itu akan menyediakan satu lagi pilihan kuarantin di bawah tanggungan sendiri kepada pesakit Covid-19 berisiko rendah.

“Sebelum ini, hotel itu beroperasi sebagai hotel kuarantin yang menempatkan pekerja kilang, bagaimanapun peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang memerlukan penubuhan segera PKRC tambahan,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Soon Hin yang juga Pengerusi Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (PMED) berkata, Royal Chulan Penang adalah hotel kedua di negeri itu yang dijadikan sebagai PKRC selain Vouk Hotel Suites.

Beliau berkata, hotel yang menjadi PKRC dilengkapi bantuan perubatan 24 jam sehari untuk pesakit.

“Kami menerima banyak panggilan daripada pesakit Covid-19 yang bimbang mereka mungkin menjangkiti rakan atau ahli keluarga semasa menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya.

Pesakit berisiko rendah yang berminat menjalani kuarantin kendiri di Royal Chulan Penang boleh melayari MySafeQ untuk membuat permohonan atau menghubungi Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (04-217 5100) untuk menguruskan kuarantin kendiri di Vouk Hotel Suites. - Bernama

Artikel Berkaitan: