RT Cares Centre bantu komuniti terkesan pandemik

Mohamed Zaizulman (kanan) menyerahkan sijil kepada Ketua (Perkhidmatan Pengguna) TNB Kedah, Wan Ishak (tengah) sambil disaksikan Pengurus RT Cares Centre Daerah Kota Setar, Abdul Kadir pada Program Agihan Kotak Makanan #Kita Bersama: RT Cares dengan kerjasama TNB Kedah di RT Cares Centre Pusat Rukun Tetangga Kampung Berjaya di sini pada Ahad.
Mohamed Zaizulman (kanan) menyerahkan sijil kepada Ketua (Perkhidmatan Pengguna) TNB Kedah, Wan Ishak (tengah) sambil disaksikan Pengurus RT Cares Centre Daerah Kota Setar, Abdul Kadir pada Program Agihan Kotak Makanan #Kita Bersama: RT Cares dengan kerjasama TNB Kedah di RT Cares Centre Pusat Rukun Tetangga Kampung Berjaya di sini pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Rukun Tetangga (RT) Cares Centre Kota Setar meneruskan bantuan bagi membantu komuniti yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui sumbangkan kotak makanan membabitkan 20 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di daerah ini pada Ahad.

Pengurus RT Cares Centre Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Kadir Mohamed berkata, kira-kira 100 kotak makanan akan diagihkan kepada KRT terlibat di Kota Setar bersempena Program #Kita Bersama: RT Cares dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah itu.

Beliau yang juga Pengerusi KRT Kampung Berjaya memberitahu, program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui pemerkasaan komuniti rukun tetangga.

"Antara lain, Program #Kita Bersama dilaksanakan bagi menggerakkan dan memperkukuhkan peranan KRT dalam memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup komuniti ketika tempoh pandemik.

"Sebanyak 71 KRT di Kota Setar akan menerima agihan secara berperingkat," katanya pada Program Agihan Kotak Makanan #Kita Bersama: RT Cares dengan kerjasama TNB Kedah di RT Cares Centre Pusat Rukun Tetangga Kampung Berjaya di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pegawai Perpaduan Kota Setar/ Padang Terap/ Pokok Sena, Mohamed Zaizulman Zainal Abidin dan Ketua (Perkhidmatan Pengguna) TNB Kedah, Wan Ishak Soed.

Abdul Kadir memberitahu, pihak jawatankuasa KRT akan mengenalpasti penerima kotak makanan mengikut kriteria tertentu seperti terjejas pendapatan, terputus bekalan makanan dan golongan B40, iaitu ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kumpulan rentan ekonomi.

Menurut beliau, agihan kotak makanan menerusi sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Wakalah Zakat TNB Kedah ini dilakukan melalui RT Cares Centre sebagai pusat pengumpulan makanan bagi daerah Kota Setar.

Artikel Berkaitan:

RT Cares ujarnya, turut memainkan peranan untuk membantu pendaftaran vaksin Covid-19, kempen kesedaran vaksin, perkhidmatan Community Outreach, selain bantuan dan agihan kotak makanan.