MUIP sumbang peralatan perubatan kepada Hospital Pekan

Asmadi (dua dari kanan) menyerahkan peralatan perubatan kepada pihak Hospital Pekan pada Sabtu.
Asmadi (dua dari kanan) menyerahkan peralatan perubatan kepada pihak Hospital Pekan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbangkan tiga peralatan perubatan bernilai lebih RM97,000 kepada Hospital Pekan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan itu membabitkan satu unit alat imbasan dan dua unit 'syringe pump' yang amat diperlukan hospital berkenaan.

Menurutnya, bantuan sebegini disediakan pada setiap tahun kepada semua hospital dan klinik di Pahang dengan mengemukakan kertas cadangan permohonan peralatan perubatan.

"Kalau ada permohonan daripada pihak hospital atau klinik yang memerlukan beberapa jenis peralatan, kami akan menyalurkan sumbangan kepada pemohon.

"Pada Mac lalu, kami memberi bantuan peralatan perubatan bernilai RM973,152 kepada hospital dan klinik kesihatan di negeri ini sebagai usaha meringankan beban pusat kesihatan terbabit," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, Asmadi menyerahkan peralatan perubatan bernilai lebih RM97,000 kepada Hospital Pekan.

Peralatan itu diterima oleh Timbalan Pengarah Hospital Pekan, Dr Izra Safwan Ali Aziz.

Mengulas lanjut mengenai peralatan yang disumbangan itu, Asmadi menjelaskan peralatan berkenaan amat diperlukan terutama selepas Hospital Pekan dinaik taraf menjadi hospital pakar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi bantuan lain, pihaknya akan mempertimbangkannya selepas ini.

Beliau menambah, bantuan diberikan hasil kutipan zakat, justeru lebih banyak wang diterima lebih banyak bantuan diberikan kepada mereka yang layak.

Sementara itu, Asmadi berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan RM50,000 kepada Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) bagi Program Gemilang Pendidikan Islam SPM (PGPI).

Menurutnya, sumbangan diberikan adalah agihan zakat yang diterima oleh MUIP yang dibayar oleh pembayar zakat melalui Pusat Kutipan Zakat Pahang.

"Diharap sumbangan ini dapat membantu pihak jabatan mengembangkan syiar Islam seterusnya meningkatkan kecemerlangan pendidikan Islam di kalangan pelajar," katanya.