Zawawi mahu lahirkan ramai jutawan muda pertanian

Nik Muhammad Zawawi bersama pengamal media di Kelantan yang membuat kunjungan hormat ke pejabatnya di Pasir Puteh pada Ahad.
Nik Muhammad Zawawi bersama pengamal media di Kelantan yang membuat kunjungan hormat ke pejabatnya di Pasir Puteh pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi yang diberi mandat sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II mahu melahirkan lebih ramai anak muda berstatus jutawan dalam bidang pertanian.

Nik Muhammad Zawawi berkata, hasrat itu mampu direalisasikan sekiranya berjaya menarik golongan muda khususnya lepasan universiti supaya berkecimpung dalam bidang pertanian moden.

"Saya cukup yakin dan percaya ilmu serta kemahiran yang ada pada anak-anak muda ini mampu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam memacu bidang pertanian moden negara pada masa hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Puteh di sini pada Ahad.

Beliau berkata, penglibatan graduan lulusan universiti merupakan langkah terbaik dalam mengurangkan kebergantungan import makanan negara dari luar, sekali gus mampu menampung permintaan tempatan.

Ujarnya, kejayaan negara maju menjadikan industri pertanian dalam skala besar perlu dijadikan sebagai contoh terbaik.

Selain itu, beliau mahu mengubah persepsi sesetengah pihak bahawa para petani adalah kelas pertengahan dan miskin dengan menjadikannya sebagai industri seperti di negara maju.

"Tanah-tanah terbiar yang masih ada di negara ini sama ada milik kerajaan atau individu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin menerusi aktiviti pertanian.

"Ia boleh diusahakan dengan dengan pelbagai jenis tanaman jangka pendek," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nik Muhammad Zawawi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu merancang bukan untuk sekadar memastikan keperluan makanan dalam negara ini mencukupi, malah boleh dieksport ke negara luar.