Tujuh kanak-kanak di Negeri Sembilan yatim piatu akibat Covid-19

Seramai tujuh kanak-kanak di Negeri Sembilan menjadi yatim piatu disebabkan ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19. - Foto 123RF
Seramai tujuh kanak-kanak di Negeri Sembilan menjadi yatim piatu disebabkan ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Seramai tujuh kanak-kanak di Negeri Sembilan menjadi yatim piatu disebabkan ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Nicole Tan berkata, jumlah tersebut membabitkan lima buah keluarga di sekitar Seremban, Port Dickson dan Jempol.

Beliau berkata, kesemua kanak-kanak berumur bawah 18 tahun itu kini tinggal bersama penjaga mereka sama ada nenek atau saudara mara terdekat.

"Kita akan mengambil perhatian terhadap anak-anak yang menjadi yatim piatu ini. Sebarang keperluan kita akan bantu mereka mengikut kesesuaian semasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program penyampaian bakul makanan kepada keluarga di Pangsapuri Arowana Seremban 2 di sini pada Ahad.

Nicole berkata, sehingga Sabtu, seramai 121 kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun di negeri ini telah kehilangan sama ada ibu atau bapa, atau kedua-duanya akibat Covid-19.

"Ini membabitkan seramai 85 keluarga iaitu 15 keluarga kematian ibu dan 65 kematian bapa, manakala lima keluarga pula kematian ibu dan bapa," katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan, seramai 14 keluarga menerima bantuan bakul makanan mengandungi roti, beras dan barangan keperluan dapur.

Nicole menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Pangsapuri Arowana, Seremban 2 pada Ahad.
Nicole menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Pangsapuri Arowana, Seremban 2 pada Ahad.

Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, seramai 126 keluarga menerima Bantuan Khas Pengurusan Khas Covid-19 bernilai RM5,000 yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) setakat 15 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, daripada 1,000 keluarga yang terlibat dengan kematian Covid-19 di negeri ini, tidak sampai separuh menerima bantuan khas Covid-19.

"Saya akan meneliti perkara ini mengapa masih ramai yang belum menerima bantuan khas. Adakah mereka tidak tahu atau ada lain-lain alasan, kita akan teliti dalam masa terdekat.

"Permohonan melalui dalam talian sahaja. Mereka hanya perlu menyediakan beberapa dokumen bagi membolehkan permohonan diteruskan. Bagaimanapun kita akan meneliti perkara ini dengan lebih lanjut kemudian," katanya.

Tambah beliau, seramai 591 individu yang dikuarantin serta hilang sumber pendapatan masing-masing telah menerima bantuan RM100 sehari menerusi bantuan khas Covid-19 oleh Nadma berjumlah RM807,800.