Covid-19: Kampung Bunut Sarang Burung kena PKPD semula

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin (kiri) sempat beramah-mesra dengan para petugas di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di SMU (A) Istiqamah Badang, Kota Bharu pada Ahad.

A
A
A

KOTA BHARU - Kampung Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bahru, Tumpat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) buat kali kedua dipercayai akibat varian Delta yang berada dalam komuniti.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, jangkitan di kawasan tersebut menunjukkan trend penularan yang cepat menyebabkan keperluan kepada PKPD kali kedua dilaksanakan.

Katanya, keadaan itu juga berpunca daripada sikap rakyat yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Berlaku jangkitan berulang dalam kalangan penduduk di kampung berkenaan yang merebak dengan cepat.

“Secara umumnya berdasarkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) varian Delta dominan dalam komuniti, dipercayai sama seperti berlaku di Bunut Sarang Burung,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Istiqamah Badang, di sini, pada Ahad.

Beliau sebelum itu melancarkan Semarak Kemerdekaan Dun Kijang di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di sekolah berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang ceria bersama-sama petugas barisan hadapan sempena pelancaran Semarak Kemerdekaan Dun Kijang di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di SMU (A) Istiqamah Badang, Kota Bharu pada Ahad.

Dr Izani turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap rakyat yang gagal mematuhi SOP hingga menyumbang penularan dan pertambahan kes positif Covid-19 di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berani cakap sebab saya lihat sendiri terutama peniaga di pasar-pasar basah, pasar minggu atau di RTC Tujong masih ramai yang tidak patuh SOP.

“Ada yang pakai pelitup muka di dagu malah ada yang berani tak pakai langsung. Pakailah pelitup muka dan jagalah SOP,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan melakukan segala usaha mendapatkan vaksin yang secukupnya sehingga satu juta dos supaya Kelantan dapat mencapai imuniti kelompok.

“Tanggungjawab rakyat pula perlu patuh terhadap arahan kerajaan dan SOP yang digariskan," katanya.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan lima lokaliti di Sabah dan Kelantan dilaksanakan PKPD selama 14 hari bermula Selasa lalu hingga 6 September ini.

PKPD di Sabah membabitkan dua kawasan di Kampung Buanog Matunggong, Kudat dan Kampung Balung Cocos, Tawau.

Di Kelantan pula, tiga lokaliti dalam daerah Tumpat iaitu Kampung Telaga Bata dan Kampung Kajang Sebidang, Mukim Jal Besar serta satu PKPD berluang iaitu di lokaliti Kampung Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bahru.