Saya berpuas hati, kata Tun M

Mahathir ketika sidang media selepas Majlis Makan Malam Persatuan Perubatan Malaysia, malam tadi. - Foto Bernama
Mahathir ketika sidang media selepas Majlis Makan Malam Persatuan Perubatan Malaysia, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy sedang berusaha melakukan yang terbaik dalam melaksanakan tugas mereka sebagai menteri.

"Saya berpuas hati. Mereka sedang melakukan yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam bertema 'Malam Istimewa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Siti Hasmah Mohd Ali' di sini malam tadi.

Sebelum ini, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin dilapor memberitakan 'nasihat' melalui catatan di blognya kepada Waytha Moorthy dan Maszlee Malik berhubung prestasi masing-masing sejak kebelakangan ini.

Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri, Dr Siti Hasmah, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Mohamad dan Presiden MMA, Dr Mohamed Namazie Ibrahim.

Dr Mahathir turut ditanya keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini yang mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

Pengerusi PH itu berkata gabungan berkenaan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu yang mungkin menjurus kepada soal menentukan calon bagi kerusi berkenaan.

"Awal lagi. Kita akan memilih seseorang. Kita ada ramai calon untuk dipilih," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sememangnya bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat termasuk dari segi ubat-ubatan.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat MMA manakala Dr Siti Hasmah diberi penghargaan sebagai Anggota Kehormat MMA. - Bernama
Artikel Berkaitan: