'Presiden UMNO terus pantau, beri idea bantu kerajaan'

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa beliau akan terus mengambil pendekatan untuk membantu kerajaan baharu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, ia termasuk dengan cara memantau, memberi pandangan dan nasihat, idea, cadangan serta teguran sewajarnya dalam memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Ramai tertanya-tanya apakah sikap dan pendekatan Presiden UMNO selepas ini, sikap dan pendekatan terhadap isu-isu kepentingan rakyat dan negara selepas kerajaan bertukar.

“Jawapannya ialah tiada apa yang akan berubah. Tiada apa yang akan berkurangan. Kepentingan rakyat dan negara tetap jadi keutamaan walau dalam apa jua keadaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pendirian itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak bekerjasama memulihkan negara.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga telah menetapkan panduan untuk kerajaan baharu. Kita menaruh kepercayaan tinggi terhadap kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersikap terbuka.

“Insya-ALLAH, UMNO dan Presidennya tetap bersama rakyat demi raja dan negara,” jelas beliau.

Pada Jumaat, mesyuarat MKT yang turut dihadiri Ismail Sabri memutuskan beberapa panduan utama kepada kerajaan, antaranya ialah penggunaan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan ‘Kerajaan Malaysia’ serta tidak terikat dengan nama Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid dalam kenyataannya selepas mesyuarat tersebut turut berkata, kerajaan perlu menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan serta kesejahteraan termasuk menambah baik pakej bantuan rakyat.