Guardiola minta Arsenal tak pecat Arteta

Guardiola percaya Arteta perlu diberikan ruang untuk membuktikan kemampuan.
Guardiola percaya Arteta perlu diberikan ruang untuk membuktikan kemampuan.
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengharapkan Arsenal tidak memecat Mikel Arteta selepas The Gunners dibelasah 0-5 di Stadium Etihad pada Sabtu.

Menurutnya, Arteta perlu terus diberikan ruang untuk mengemudi pasukan dan memperbaiki prestasi buruk yang sedang dilalui Arsenal ketika ini.

"Saya boleh bercakap kerana saya bekerja dengannya dua atau tiga tahun bersama-sama di City. Kami turut belajar banyak perkara bersama-sama dan dia adalah pengurus yang bagus.

"Dia memiliki karakter, personaliti dan mempunyai sifat kepimpinan. Dia disayangi oleh kami semua dan sangat sedih apabila dia meninggalkan City.

"Kadang-kadang penyokong mengharapkan keputusan segera. Pemain Arsenal yang bermain hari ini bukanlah pasukan yang diharapkannya kerana lapan pemain mereka cedera. Pemain yang cedera itu juga sangat penting seperti Ben White dan Thomas Partey. Arteta tidak dapat menggunakan pemain yang dimahukannya," katanya.

Arteta sudah hampir dua tahun membimbing Arsenal, namun tiada perubahan besar dibawa pengendali kelahiran Sepanyol itu selain menjuarai Piala FA dan Community Shield pada tahun lalu.

Arsenal gagal ke kejohanan Eropah iaitu Liga Juara-Juara atau Liga Europa kali pertama sejak 20 tahun selepas menyudahkan saingan liga musim lalu di kedudukan kelapan.

Malah, The Gunners juga kalah 0-2 kepada Brentford dan Chelsea sebelum dibelasah oleh City dalam tiga aksi pertama liga sekali gus menyaksikan Arsenal sudah bolos sembilan gol dan gagal menjaringkan gol setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Arteta tidak mendapat pemain yang diperlukannya. Semua pengurus memerlukan pasukan terbaiknya terutama dalam perlawanan besar seperti ini. Saya boleh menggunakan semua pemain kecuali Kevin De Bruyne dan Phil Foden.

"Saya mempercayai Arteta dan saya percaya jika Arsenal terus memberikan kepercayaan kepadannya, dia akan membawa Arsenal meraih hasil yang bagus," kata Guardiola.