Negeri Sembilan pilih laluan sukar ke Liga Super

Antara aksi menarik pertemuan Negeri Sembilan menentang Kelantan FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammd lV. FOTO: Negeri Sembilan Football Club
Antara aksi menarik pertemuan Negeri Sembilan menentang Kelantan FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammd lV. FOTO: Negeri Sembilan Football Club
A
A
A

Negeri Sembilan FC harus menyalahkan diri sendiri apabila keciciran mata selepas tewas 1-2 kepada Kelantan FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammd lV pada Jumaat.

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan berkata kekalahan tersebut memaksa The Jangs bimbingannya melalui jalan sukar untuk bersaing dengan Sarawak United FC merebut kejuaraan liga.

“Sebelum ini kita sasar dalam empat perlawanan terakhir liga, pasukan tidak boleh kehilangan mata bagi merapatkan jurang dengan Sarawak United.

“Keadaan sekarang menyukarkan kami kerana terpaksa mengharapkan Sarawak United kalah pada baki perlawanan seterusnya, jika mereka menang mungkin susah untuk kita kejar dan terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

The Jangs yang kini berada di kedudukan kedua liga dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan Kelantan FC sekali gus memberi tamparan dalam usaha memintas kedudukan Sarawak United.

Negeri Sembilan FC kini mengumpul 32 mata, lima mata di belakang pendahulu Sarawak United FC dengan berbaki tiga perlawanan perlu ditempuh.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata mereka tidak boleh berpuas hati biarpun mencatat kemenangan pada perlawanan tersebut.

“Kelantan FC berada di tangga ketujuh liga, kami perlu memberi tumpuan kepada kutipan mata untuk mencapai sasaran berada dalam lima pasukan terbaik.

Artikel Berkaitan:

“Pada perlawanan tadi (semalam) semua pemain menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan saya mahu perkara ini diulangi pada dua lagi perlawanan berbaki menentang pasukan JDT ll dan Selangor FC ll,” katanya. - Bernama