RM1 juta menanti Bonnie

Bonnie melakukan angkatan seberat 228kg untuk meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. FOTO: BERNAMA
Bonnie melakukan angkatan seberat 228kg untuk meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. FOTO: BERNAMA
A
A
A

JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin bakal menerima ganjaran RM1 juta selepas meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), pemenang emas Sukan Olimpik atau Paralimpik bakal menerima imbuhan RM1 juta manakala perak RM300,000 dan gangsa RM100,000.

Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) yang diberikan secara bulanan untuk sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, ganjaran yang akan diterima setiap pemenang pingat masih sama seperti edisi sebelum ini.

“Ya... ganjaran yang akan diterima Bonnie sebagai pemenang pingat emas masih sama seperti edisi Rio sebelum ini iaitu RM1 juta. Bagaimanapun, kali ini ada sedikit penambahan daripada penaja.

“Jadi setiap pemenang pingat akan menerima ganjaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media secara maya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Negaraku' akhirnya berkumandang di Tokyo

Paralimpik Tokyo: Malaysia raih pingat emas pertama

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ganjaran daripada kerajaan Sarawak menunggu Bonnie serta atlet Sarawak lain yang berjaya membawa pulang pingat.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan berbincang dengan pihak kerajaan berhubung ganjaran kepada setiap pemenang.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang saya sering sebutkan, amat penting untuk kerajaan fikirkan langkah untuk mantapkan kebolehan atlet serta bagaimana mahu pastikan kehidupan mereka lebih terjamin selepas karier tamat.

“Saya akan berbincang dengan kementerian dan kerajaan untuk berikan ganjaran yang baik kepada atlet yang mengharumkan nama negara. Insya-ALLAH ada ganjaran itu dan kita akan umumkan kemudian,” ujarnya.

Dalam aksi final kategori 72 kilogram (kg) di Tokyo International Forum pada Sabtu, Bonnie melakukan angkatan seberat 228kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik.