Mora lega JDT raih kejuaraan Liga Super lebih awal

Mora memeluk pemain tengah, Safiq Rahim bagi meraikan kejayaan JDT menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. FOTO: FB MFL
Mora memeluk pemain tengah, Safiq Rahim bagi meraikan kejayaan JDT menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. FOTO: FB MFL
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora nyata gembira atas kejayaan skuad kendaliannya meraih kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut lebih awal selepas kemenangan 3-0 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.

Menurut Mora, kejuaraan yang diraih Harimau Selatan kali ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana tahap persaingan setiap pasukan dilihat semakin meningkat.

Justeru, Mora menganggap mengesahkan kejuaraan di laman sendiri adalah sesuatu yang manis walaupun terpalit sedikit rasa kecewa kerana tidak dapat melakukannya di hadapan puluhan ribu penyokong setia Harimau Selatan.

“Sudah tentu sangat gembira dengan kejuaraan ini kerana berjaya meraihnya lebih awal biarpun masih ada beberapa perlawanan lagi, ditambah peluang terbaik kami dapat lakukannya di tempat sendiri.

“Tahap persaingan semakin tinggi kerana kita sekarang sudah mempunyai Terengganu, Selangor dan Kedah yang semakin meningkat manakala Penang bermula begitu baik pada awal musim, ini sesuatu yang baik kepada tahap kompetitif liga.

“Bagi perlawanan hari ini, saya tahu Sri Pahang tidak berada tahap terbaik untuk berdepan JDT tetapi mereka sentiasa hadirkan tentangan sengit namun JDT semakin kuat di segenap segi dengan kehadiran pemain muda, senior, pemain-pemain kebangsaan serta import yang berada di tahap terbaik pada tiap perlawanan.

“Bukan mudah untuk menang dalam bola sepak untuk mana-mana liga di dunia namun melalui sokongan yang kuat dari segi ekonomi, mental dan emosi oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), kami mahu berikan kejuaraan ini kepadanya.

“Kami semakin obses untuk menang dalam setiap perlawanan sama ada bermain di tempat sendiri atau lawan, ini adalah satu benda yang menjadi kebiasaan kepada pasukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

JDT muncul juara apabila meraih 51 mata ketika liga masih berbaki dua perlawanan, satu kedudukan yang tidak boleh dicabar oleh pasukan lain seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC yang hanya boleh meraih 50 mata maksimum jika menang dalam semua baki perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Bergson da Silva meledak hatrik pada separuh masa pertama - minit ke-9, 41 dan 45 yang turut meletakkan dia kini berjaya menyamai rekod pencapaian jaringan tertinggi dalam semusim yang dibuat Mohamad Ghaddar iaitu sebanyak 23 gol pada 2017.

Penyerang dari Brazil itu bergelar pendahulu penjaring terbanyak Liga Super namun sedang dicabar hebat penyerang Selangor FC, Ifedayo Omosuyi yang hanya ketinggalan satu jaringan.

Situasi itu membuatkan Mora sedia untuk membantu Bergson dalam misinya memenangi penjaring terbanyak dengan berbaki dua perlawanan apabila pengendali dari Mexico sedia menurunkan barisan terkuat.

“Kami akan membantu semua pemain dalam pasukan ini dan bersedia untuk menolong Bergson mendapatkan penjaring terbanyak kerana ini juga sesuatu yang baik kepada JDT.

“Objektif utama pasukan adalah menjuarai apa jua kejohanan yang kita sertai dan sekarang sudah tentu kami akan bantu Bergson, yang akan menjadi satu lagi pencapaian buat JDT.

“Berdepan Terengganu pada perlawanan seterusnya, saya tetap akan turunkan barisan terkuat kerana kami mahu cuba membalas dendam kekalahan yang dialami sebelum ini kerana mereka merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya tewaskan kami di liga,” katanya.