Buruh maut terjatuh, kilang diberi notis larangan

Mangsa dikatakan terjatuh dari ketinggian 5.5 meter ketika melakukan kerja menukar bumbung jenis zink di sebuah kilang.
Mangsa dikatakan terjatuh dari ketinggian 5.5 meter ketika melakukan kerja menukar bumbung jenis zink di sebuah kilang.
A
A
A

PRAI - Seorang pekerja buruh am maut selepas terjatuh dari ketinggian 5.5 meter ketika sedang melakukan kerja-kerja menukar bumbung jenis zink di sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Prai, di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang, Hanisah Ahmad berkata, dalam kejadian pada jam 11.45 pagi, Khamis lalu itu, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 45 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Difahamkan, mangsa telah memijak bahagian zink yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan dia terjatuh dari ketinggian kira-kira 5.5 meter dari paras bumbung ke lantai.

"Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima laporan mengenai kemalangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya mengeluarkan satu notis larangan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kepada kilang tersebut.

"Notis dikeluarkan di atas kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja penukaran bumbung sehingga menyebabkan kemalangan.

"Selain itu, lokasi kejadian juga disita secara fizikal untuk memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu dalam siasatan selanjutnya. Majikan mangsa turut diarahkan menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan segera," katanya.

Hanisah berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan: