Sektor perbankan perlu kecualikan bayaran faedah kepada peminjam

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Sektor perbankan perlu mengecualikan pembayaran faedah sepanjang tempoh moratorium pinjaman memandangkan industri berkenaan merekodkan keuntungan lebih baik berbanding tahun lalu.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar faedah dan keuntungan yang dikenakan kepada peminjam yang mengalami kesusahan bukan cara ‘Keluarga Malaysia’ seperti mana yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Industri perbankan dijangka menambah keuntungan secara ketara tahun ini berbanding tahun 2019, seperti yang ditunjukkan oleh keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021.

“Ia meningkat dua kali ganda iaitu sebanyak RM1.96 bilion berbanding RM941.73 juta tahun lalu.

“Selain itu, Maybank juga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.39 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM2.05 bilion tahun lalu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP turut mempersoalkan keuntungan beberapa syarikat lain yang berada di zon selesa sama seperti Maybank.

Beliau berkata, masing-masing seharusnya memainkan fungsi kepada negara dengan berkongsi pencapaian peningkatan keuntungan tahun lalu dengan mengecualikan faedah sepanjang tempoh moratorium.

“Atas sebab ini, industri perbankan perlu berkongsi nasib baik mereka dengan pelanggan iaitu mengecualikan pembayaran faedah semasa tempoh moratorium pinjaman,” kata beliau.

Artikel Berkaitan: