X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Aduan tak lengkap sukarkan JPJ ambil tindakan terhadap p-hailing

Aedy Fadly (dua dari kanan) memberikan nasihat kepada penunggang p-hailing ketika hadir Operasi Khas Ops Patuh SOP Covid-19 di Jalan Sultan Azlan Shah Utara berhampiran Tasek pada Sabtu.
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Aduan orang awam tidak lengkap menyukarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap perkhidmatan penghantaran makanan dan bungkusan menggunakan motosikal (p-hailing) yang melanggar peraturan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya memang menerima banyak aduan berkaitan kesalahan dilakukan penunggang p-hailing tetapi kebanyakanya tidak disertakan dengan bukti kukuh.

Menurutnya, aduan yang dikemukakan tidak disertakan dengan gambar jelas, nombor pendaftaran kenderaan dan maklumat lengkap pengadu bagi memudahkan pihak JPJ mendapatkan maklumat lanjut.

"Kita mendapat aduan kesalahan dilakukan p-hailing ini kebanyakannya langgar lampu isyarat merah. Mereka nak mengejar trip jadi langgar lampu merah supaya cepat sampai. Selain itu, kesalahan lain dilakukan adalah masuk lorong sehala tidak mengikut laluan sepatutnya dan aksesori kenderaan tidak lengkap terutama cermin sisi hanya satu.

"Apabila dapat aduan, kita ambil tindakan kalau ada bukti sebab kadang-kadang aduan yang diterima tidak ada bukti kukuh untuk ambil tindakan. Buat masa sekarang kita banyak terima aduan secara rawak melalui media sosial tanpa bukti yang jelas daripada orang awam. Jadi kita menyeru kepada orang awam kalau nak adukan kepada kita, adu dengan jelas beserta gambar untuk diambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas hadir Operasi Khas Ops Patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 di Jalan Sultan Azlan Shah Utara berhampiran Tasek, di sini pada Sabtu.

Aedy Fadly berkata, orang awam yang ingin menyalurkan aduan boleh menghantarkan e-mel dengan maklumat lengkap kepada Bahagian Korporat JPJ negeri atau melalui kaunter selain aduan di Biro Pengaduan Awam jika berlaku perlanggaran undang-undang jalan raya.

Menurutnya, selepas maklumkat lengkap tersebut diterima, pihak JPJ akan menghantar surat kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut bagi tujuan temu siasat sebelum kompaun dikeluarkan.

"Kita juga menjalankan program advokasi sempena Bulan Kemerdekaan kepada pemandu p-hailing memandangkan kita menerima banyak rungutan dan aduan daripada orang awam.

"Kita nak pastikan bahawa pemandu p-hailing yang bertugas berada di jalan ketika menghantar makanan dari rumah ke rumah sentiasa patuh kepada peraturan dan sentiasa ingat untuk menjaga keselamatan dan menghargai nyawa diri serta orang awam," katanya.

Sementara itu, Aedy Fadly mengumumkan bahawa perkhidmatan Kaunter Pandu Lalu Unit Bergerak JPJ Perak akan melanjutkan tempoh operasi harian bermula jam 9 pagi hingga jam 5 petang berbanding hingga 12.15 tengah hari sebelum ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas perkhidmatan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin memperbaharui Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu.

Jelas beliau, pelanjutan tempoh masa operasi kaunter pandu lalu itu juga akan diperluaskan ke negeri-negeri lain secara berperingkat dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui laman media sosial JPJ negeri masing-masing.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!