Undi 18, pelantikan senator antara agenda sidang DUN P. Pinang

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, yang dijadualkan bersidang secara bersemuka Isnin depan, dijangka akan menimbangkan satu rang undang-undang berkaitan dengan Undi 18 dan pelantikan senator baharu. - Gambar hiasan.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, yang dijadualkan bersidang secara bersemuka Isnin depan, dijangka akan menimbangkan satu rang undang-undang berkaitan dengan Undi 18 dan pelantikan senator baharu. - Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, yang dijadualkan bersidang secara bersemuka Isnin depan, dijangka akan menimbangkan satu rang undang-undang berkaitan dengan Undi 18 dan pelantikan senator baharu.

Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, sidang DUN itu akan menimbangkan satu rang undang-undang berkaitan dengan Undi 18 untuk menyelaraskan perlembagaan negeri dengan perlembagaan persekutuan bagi membolehkan rakyat yang berumur 18 ke atas dijadikan calon wakil rakyat.

“Ini adalah kerana had umur pengundi sudah diturunkan menjadi 18 tahun, maka had umur calon juga perlu diturunkan. Ini adalah satu pindaan perlembagaan negeri.

“Seterusnya memandangkan tempoh perkhidmatan senator yang dilantik kerajaan negeri telah tamat pada 26 Ogos lepas, maka sidang DUN kali ini perlu ada pelantikan senator yang baru untuk tempoh tiga tahun selanjutnya,” katanya kepada wartawan di sini pada Sabtu.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 sepanjang persidangan itu, katanya, ia akan diadakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, upacara perasmian yang ringkas dengan ucapan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak tanpa istiadat kawalan terhormat, manakala kehadiran terhad kepada wakil rakyat, ketua jabatan dan petugas yang diperlukan sahaja.

Tambahnya para jemputan perlu membuat ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan menunjukkan keputusan negatif tiga hari sebelum sidang bermula pada 30 Ogos untuk mendapat kebenaran masuk ke dalam dewan.

“Sidang akan berehat pada 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan, sebelum bersambung pada 1 September dan para jemputan perlu menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK) Antigen dengan bantuan pegawai Kementerian Kesihatan setiap pagi sebelum diberi kebenaran untuk masuk ke Dewan Sri Pinang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: