Jurulatih tetap bangga pencapaian skuad basikal para negara

Zuhairie ketika beraksi di Velodrom Izu, pada Sabtu. -Foto Facebook Majlis Sukan Negara
Zuhairie ketika beraksi di Velodrom Izu, pada Sabtu. -Foto Facebook Majlis Sukan Negara
A
A
A

BIARPUN gagal ke acara penentuan pingat apabila hanya menamatkan saringan bagi bagi kategori C1-5 750 meter (m) berpasukan campuran pada kedudukan kelima di Velodrom Izu, pada Sabtu, namun pencapaian trio basikal trek negara yang diwakili Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddinn (C1), Zuhairie Ahmad Tarmizi (C5) dan Muhammad Hafiz Jamali (C5), tetap boleh dibanggakan.

Menurut jurulatih basikal para negara, Sallehuddin Mohd Noh, trio berkenaan berjaya mencatat 50.532 saat bagi acara itu dan ia dilihat telah memperbaiki catatan masa 51.566 saat yang dicatatkan ketika menyertai Kejohanan Dunia di Milton,Kanada tahun lalu.

Malah katanya, trio basikal negara hanya dipisahkan dengan 0.1888 saat berbanding pasukan Perancis yang menamatkan acara saringan berkenaan pada kedudukan keempat.

“Walaupun pasukan pecut berpasukan campuran kita tidak berjaya ke final, tetapi kita tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka pada acara saingan hari ini.

“Ini kerana, mereka telah berjaya menamatkan acara saringan pada kedudukan kelima dengan mencatatkan masa 50.532 saat yang mana telah memperbaiki catatan masa di Kejohanan Dunia, Milton, Kanada pada 2020,” katanya.

Sementara itu Sallehuddin berkata, pasukan berkenaan akan berpindah ke Fuji pada Ahad, bagi menyertai acara lebuh raya yang dijadualkan bermula pada 31 Ogos dan 3 September depan.

Katanya, Mohamad Yusof bakal menyertai acara ujian masa individu lelaki C1 di Fuji International Speedway pada 31 Ogos ini selain atlet basikal wanita para negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dalam acara ujian masa individu wanita B.

Azlia yang dibantu jurumudi, Nurul Suhada Zainal turut dijadual menyertai acara lebuh raya wanita B pada 3 September depan.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan akan berpindah ke Fuji hari ini untuk menyertai perlumbaan lebuh raya pada 31 Ogos dan 3 September ini di Fuji International Speedway," katanya.