'Emas buat ayah, jurulatih'

Atlet powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin berjaya meraih pingat emas pertama negara bagi kategori 72 kilogram (kg) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum pada Sabtu. - Foto Bernama
Atlet powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin berjaya meraih pingat emas pertama negara bagi kategori 72 kilogram (kg) pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Pemenang emas pertama negara Sukan Paralimpik Tokyo, Bonnie Bunyau Gustin mendedikasikan pingat diraihnya pada Sabtu kepada ayah dan jurulatihnya sendiri.

Bonnie yang meraih emas acara powerlifting kategori lelaki 72 kilogram (kg) berkata, kedua-dua mereka itu merupakan watak penting yang mencorakkan kejayaannya dalam dunia sukan.

Beliau berkata, ayahnya, Gustin Jenang, 54, yang pernah merangkul gangsa kategori lelaki 59 kg pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 telah banyak mendorongnya untuk menjadi seorang atlet berjaya seperti dikecapinya hari ini.

Bonnie berasa bangga dan lega apabila dapat menunaikan hasrat ayahnya yang mahu beraksi dalam Sukan Paralimpik ketika mewakili negara suatu ketika dahulu.

“Kejayaan ini untuk ayah saya, dahulu beliau mahu mewakili negara dalam Sukan Paralimpik tapi tidak berjaya. Saya sangat gembira dapat raih emas pertama negara di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Paralimpik Tokyo: Malaysia raih pingat emas pertama

Badang kerdil berusia 22 tahun dari Sarawak itu bukan sahaja merangkul emas malah lebih manis turut melebur rekod Paralimpik baharu milik Rasool Mohsin dari Iraq dilakukan di Rio 2016 iaitu 227 kg dengan angkatan 228 kg menerusi percubaan ketiganya dalam saingan di Tokyo International Forum.

Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

Bonnie berkata, minatnya dalam sukan powerlifting timbul apabila sering mengikuti ayahnya berlatih sewaktu kecil dahulu sebelum mula mewakili negara pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Selain untuk ayahnya, Bonnie juga teruja dapat menghadiahkan emas untuk jurulatihnya, Jamil Adam, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-52 pada Jumaat kerana insan itu tidak pernah jemu memberi rangsangan kepadanya untuk melakukan yang terbaik tidak kira sama ada beliau berasa tertekan atau sebaliknya dalam sesi latihan mahupun pertandingan.

Dalam pada itu, Bonnie meluahkan rasa terkilan kerana gagal dalam percubaannya untuk memecah rekod dunia miliknya sendiri iaitu 230 kg yang dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas, dengan angkatan seberat 231 kg pada aksi pada Sabtu.

Beliau yang mengakui gementar ketika membuat penampilan pertamanya di temasya itu juga menyatakan faktor kepenatan dialaminya selepas memecah rekod Paralimpik mengakibatkan beliau tidak berupaya memperbaiki rekod dunianya sendiri.

“Mungkin penat sikit dan nafas saya ketika itu tidak cukup membuat tolakan terakhir,” jelasnya sambil menambah beliau menyembunyikan perasaan gemuruhnya kepada jurulatihnya sepanjang pertandingan tadi.

Mengenai perancangannya selepas ini, Bonnie bercadang untuk berehat sebentar dengan pulang ke Sarawak bagi menemui keluarganya sebelum membuat persiapan bagi menghadapi kejuaraan dunia di Georgia, November ini.

Tambahnya, keluarganya juga sempat meniup api perjuangan ketika beliau menghubungi mereka malam tadi.

Bonnie yang gemar mendengar muzik rock bagi menenangkan dirinya sebelum turun bertanding juga berazam mahu berusaha dengan lebih keras lagi bagi meneruskan rentak cemerlang di Paris 2024 nanti.

Beliau pada masa sama berharap kejayaannya akan memberi suntikan motivasi kepada rakan sepasukan yang lain untuk mencapai sasaran tiga emas bagi kontinjen Malaysia di Jepun selain mahu memberi sumber inspirasi kepada golongan sepertinya kerana baginya tiada penghalang buat seseorang untuk berjaya dalam hidup. - Bernama

-end-

TAG: Bonnie Bunyau Gustin, Jamil Adam, Paralimpik Tokyo, emas, powerlifting