MBK daftar 11,000 peniaga untuk suntikan vaksin

Hamdan menyerahkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan penjaja di Tapak Niaga Sungai Isap, Kuantan pada Sabtu.
Hamdan menyerahkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan penjaja di Tapak Niaga Sungai Isap, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sudah mendaftarkan seramai 11,000 peniaga dan penjaja di daerah ini bagi menerima suntikan vaksin covid-19 menerusi Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, senarai itu sudah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab terhadap program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini masih menunggu maklumat balas daripada KPKT bagi tindakan selanjutnya selepas empat bulan mengumpul senarai nama peniaga dan penjaja di daerah ini.

“Kita sentiasa memperkemaskan data-data tersebut dari semasa ke semasa kerana mereka (peniaga dan penjaja) juga telah mendaftar dengan MySejahtera. Ada antara mereka telah dipanggil untuk menerima suntikan.

"Ini tidak menjadi masalah kerana melalui rekod MySejahtera itu, kita akan membuat susunan semula dan meneliti supaya tidak berlaku pertindihan.

“Sehingga kini, kita dimaklumkan dalam 10 peratus sudah menerima vaksin daripada nama-nama yang kita kumpul melibatkan peniaga, penjaja di semua pasar-pasar awam, pasar tani, pasar pagi, jualan but kereta dan banyak lagi daripada semua peringkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Penyampaian Jalur Gemilang dan Bakul Makanan kepada peniaga di Tapak Niaga Sungai Isap di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah MBK, Datuk Zaitun Mat dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar.

Pada 6 Julai lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan bahawa program MOVAK di bawah KPKT kini diperluaskan kepada komuniti peniaga kecil.

Artikel Berkaitan:

Program dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu diperluaskan kepada penjaja pasar malam, pasar tani, pasar pagi, pasar basah dan lain-lain peniaga yang termasuk dalam kategori penjaja dan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Hamdan berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini sebagai pusat bagi program MOVAK.

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini KPKT masih lagi berusaha untuk mendapatkan vaksin daripada MOSTI.

"Saya baru berhubung dengan pihak berkaitan dan mengharapkan bekalan vaksin tersebut dapat disegerakan.

“Insya-ALLAH, apabila bekalan vaksin ini kita terima nanti, kita akan segera melaksanakannya. Pemberian vaksin menerusi program MOVAK akan laksanakan di TSK,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak lima tapak jaja telah diberikan kebenaran untuk beroperasi setakat ini dengan syarat-syarat ketat.

Menurutnya, hanya 50 peratus daripada jumlah peniaga yang dibenarkan berniaga melibatkan penjualan makanan sahaja.

“Dari segi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kita melakukan pemantauan melibatkan pasukan 'task force' yang ditubuhkan, MBK dan pihak penganjur.

"Kita berharap semua pihak sama ada peniaga dan pelanggan untuk mematuhi semua SOP ditetapkan serta menjaga kebersihan kawasan tapak jaja," kata beliau.