P. Pinang mahu kerajaan beri perhatian isu rumah mampu milik

 Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberikan perhatian terhadap isu bekalan rumah mampu milik di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri kini dalam usaha menyediakan sebanyak 220,000 unit rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang menjelang tahun 2030 dengan kini sekitar 119,000 unit telah pun diduduki dan dalam pelbagai fasa binaan.

“Kerajaan negeri mahu pastikan ada bekalan rumah mampu milik di Pulau Pinang dan kita mahu lihat apakah yang akan dibantu oleh kerajaan pusat...dengan nafas baru politik, saya harap bantuan akan sampai kepada negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut di tapak pembinaan rumah mampu milik di Bayan Mutiara di sini pada Sabtu.

Jagdeep berkata, pihaknya juga dalam perancangan membuat permintaan rasmi kos penyelenggaraan perumahan bernilai RM100 juta kepada kerajaan pusat, tahun hadapan.

Beliau turut mengalu-alukan pertemuan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican supaya dapat membincangkan hala tuju dan perancangan perumahan mampu milik di negeri itu.

Jagdeep sebelum itu mengucapkan tahniah kepada Reezal Merican atas pelantikan sebagai menteri berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah memberikan kerjasama baik berhubung pembangunan perumahan di Pulau Pinang serta telah meluluskan dana sebanyak RM30 juta untuk kos penyelenggaraan perumahan sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: