X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Jenazah Allahyarham Tun Ahmad Sarji selamat dikebumikan

Balu kepada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Toh Puan Sagiyah Salikin (empat, kiri) menyiram air ke pusara suaminya yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia pagi tadi pada usia 82 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara kira-kira pukul 12 tengah tadi.

Jenazah yang tiba di tanah perkuburan pada jam 11.45 pagi itu turut diiringi beberapa ahli keluarga terdekat.

Jenazah sebelum itu disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital pada jam 1.40 pagi Sabtu.

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.

Selesai urusan pengebumian, anak bongsu Allahyarham Ariff Tuah mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghadiri pengebumian bapanya walaupun dalam situasi Covid-19.

Beliau yang ditemui pemberita di tanah perkuburan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemimpin negara yang menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan arwah bapanya.

Ariff Tuah berkata, Allahyarham yang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 21 hari telah mengalami masalah pernafasan empat hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

“Allahyarham telah melakukan yang terbaik dan berjaya bertahan selama 20 hari, Allahyarham memang seorang yang sangat kuat,” katanya dan memaklumkan bapanya turut mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah buah pinggang.

Urusan pengebumian selesai kira-kira pukul 12.30 tengah hari dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Ahmad Sarji meninggal dunia


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!