Kanak-kanak perempuan 12 tahun berkorban nyawa demi selamatkan adik

Chen Zimo (kiri) maut ketika melindungi adik lelakinya berusia lima tahun apabila rumah mereka terbakar pada 22 Februari lalu. - Foto WEIBO
Chen Zimo (kiri) maut ketika melindungi adik lelakinya berusia lima tahun apabila rumah mereka terbakar pada 22 Februari lalu. - Foto WEIBO
A
A
A

HUNAN - CHINA. Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut akibat luka terbakar setelah menggunakan badannya sendiri untuk melindungi adik lelakinya ketika berlaku kebakaran di rumah mereka.

Dalam kejadian awal pagi 22 Februari lalu, Chen Zimo dan adik lelakinya sedang tidur apabila rumah mereka yang terletak di Changde, wilayah Hunan terbakar.

Apabila ayah mangsa bernama Chen Hao yang tidur di bilik berasingan menyedari rumahnya terbakar, dia segera berlari ke bilik anak-anaknya namun kedua-duanya ditemukan tidak sedarkan diri.

Zimo ditemui dalam keadaan memeluk tubuh adiknya, Mozi berusia lima tahun yang berbalut dengan selimut.

Kanak-kanak perempuan tersebut yang dilaporkan mengalami luka kebakaran pada 55 peratus badannya meninggal dunia setelah lima hari bertarung nyawa di hospital, manakala adiknya berada dalam keadaan stabil.

Bercakap tentang Zimo, ayah mangsa berkata, dia seorang anak yang bertimbang rasa dan pandai berdikari sejak kecil lagi. Malah Zimo sering membantu kedua ibu bapanya menjaga adik lelakinya itu.

"Sekiranya Zimo berlindung dalam selimut, dia mungkin tidak akan mengalami kecederaan terlalu serius," kata bapa mangsa sambil menambah sebahagian wang hasil sumbangan orang ramai untuk rawatan anak lelakinya akan didermakan kepada sekolah dan badan kebajikan atas nama Zimo. - Straitstimes

Artikel Berkaitan: