Sila log masuk terlebih dahulu.

Hanya 13 peratus bekerja sendiri daftar SKSPS

Farihah (kiri) bersama Wan Sukairi (tiga dari kiri) menyerahkan faedah pencen penakat kepada ibu bapa Nik Muhammad Haikal yang maut dalam kemalangan selepas menghantar makanan di kediaman keluarga itu di Kampung Gong Tok Nasek pada Sabtu.
Farihah (kiri) bersama Wan Sukairi (tiga dari kiri) menyerahkan faedah pencen penakat kepada ibu bapa Nik Muhammad Haikal yang maut dalam kemalangan selepas menghantar makanan di kediaman keluarga itu di Kampung Gong Tok Nasek pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hanya 13 peratus daripada 91,000 individu yang bekerja sendiri di Terengganu mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, jumlah itu meliputi 11,000 orang yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pertanian, penternakan, makanan, perikanan dan pengangkutan barangan serta makanan.

"Daripada 11,000 pencarum yang direkodkan, seramai 7,769 orang merupakan mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan atau lebih dikenali sebagai penghantar barang (rider) dan kita anggarkan 80 peratus rider di Terengganu sudah daftar dalam SKSPS," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada waris pencarum SKSPS, Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli, 19, yang meninggal dunia dalam kemalangan selepas menghantar makanan pada 19 Ogos lalu.

Penyerahan disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdulllah kepada ibu bapa arwah, Nik Zulkifli Nik Abd Kadir dan Zaidah Abd Rahman di kediaman mereka di Kampung Gong Tok Nasek, di sini pada Sabtu.

Hasil caruman Allahyarham Nik Muhammad Haikal yang merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu, ibu bapa dan seorang adiknya berusia 16 tahun layak menerima pencen penakat berjumlah RM1,116 sebulan.

Menurut Farihah, angka 13 peratus masih rendah dan beliau berharap mereka yang bekerja dalam 20 sektor pekerjaan tidak formal mengambil peluang mendaftar dengan SKSPS bagi membolehkan diri dan waris mendapat faedah sekiranya berlaku kemalangan dan musibah.

Beliau berkata, dengan caruman serendah RM13.10 sebulan, pencarum dapat menikmati banyak faedah seperti perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat, pendidikan, kemudahan pemulihan jasmani/vokasional dan elaun layanan sentiasa.

Artikel Berkaitan:

"SKSPS bukan hanya untuk penghantar makanan tapi mereka yang bekerja tanpa majikan seperti nelayan, pekebun, petani, penternak, peniaga, pengusaha online dan ramai yang lain layak mencarum.

"Oleh itu, saya harap lebih ramai individu yang bekerja sendiri dalam sektor-sektor ini dapat daftar dengan kita bagi memastikan mereka dilindungi di bawah skim sama sekali gus berpeluang menikmati pelbagai faedah yang disediakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Tak sempat jamah tart telur bersama rakan