Mayat nelayan dipanah petir gagal ditemui

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia masih meneruskan pencarian mangsa yang dikatakan dipanah petir pada 18 Ogos lepas di perairan Pulau Dinawan, Kota Kinabalu. - Foto Awani
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia masih meneruskan pencarian mangsa yang dikatakan dipanah petir pada 18 Ogos lepas di perairan Pulau Dinawan, Kota Kinabalu. - Foto Awani
A
A
A

KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia masih meneruskan pencarian mangsa yang dikatakan dipanah petir pada 18 Ogos lepas di perairan Pulau Dinawan, Kota Kinabalu.

Usaha pencarian yang memasuki hari ke-10 tersebut dilakukan dalam aktiviti rondaan harian selepas Operasi Carilamat ditamatkan pada 20 Ogos lalu.

Menurut Leftenan Maritim Wan Rusli Wan Mustapha, mangsa, Mohd Nasir Abd Rais, 62, sedang melakukan aktiviti memancing di kawasan Pulau Dinawan bersama anaknya pada 18 Ogos lalu sebelum dipanah petir.

Anak mangsa, Abdullah Mohd Nasir, 20, disahkan meninggal dunia selepas ditemui nelayan tempatan pada hari kejadian.

"Mangsa dikatakan telah dipanah petir ketika melakukan aktiviti memancing di kawasan Pulau Dinawan.

Bermula 18 Ogos, pihak Maritim Malaysia telah mengaktifkan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

"Sepanjang tiga hari pencarian bermula 18 Ogos sehingga 20 Ogos, mangsa masih belum ditemui," katanya.

Wan Rusli ditemui dalam rondaan harian Maritim Malaysia di perairan Kota Kinabalu pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pihak keluarga mangsa telah dimaklumakan tentang penamatan operasi SAR dan usaha pencarian yang sedang dibuat Maritim Malaysia melalui rondaan rutin harian.

Bagaimanapun, jelas Wan Rusli usaha pencarian tersebut dilihat sukar kerana mangsa dikatakan tidak memakai jaket keselamatan.

"Kebanyakan kes yang kami terima adalah sukar untuk kami temui disebabkan mangsa kebanyakan tidak memakai jaket keselamatan," katanya.

Tambahnya berdasarkan operasi Carilamat sebelum ini, hanya 20 peratus mangsa yang tidak memakai jaket keselamatan berjaya ditemui dan beliau menasihatkan komuniti nelayan agar lebih peka dengan keadaan semasa di laut dan sentiasa memakai jaket keselamatan. - Awani