Jakoa NS optimis 80 peratus orang asli divaksin akhir September

Jakoa Negeri Sembilan optimis 80 peratus masyarakat orang asli di negeri itu akan selesai melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan depan. Gambar hiasan
Jakoa Negeri Sembilan optimis 80 peratus masyarakat orang asli di negeri itu akan selesai melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan depan. Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan optimis 80 peratus masyarakat orang asli di negeri itu akan selesai melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan depan.

Pengarah Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka Shahrani Idderis berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai susulan seramai 4,021 orang asli menerima dos pertama manakala 3,415 melengkapkan kedua-dua dos setakat 26 Ogos lepas.

“Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 8,470 masyarakat orang asli yang layak divaksinasi menerusi 69 perkampungan orang asli di negeri ini, sekarang kita memang giat jalankan pemvaksinan kepada mereka.

“Itu memang sasaran kita sekali gus mampu mencapai imuniti kelompok dalam kalangan mereka dengan kadar segera, namun ia turut bergantung kepada kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang bertanggungjawab menguruskannya,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Beliau berkata, PKD dengan kerjasama JAKOA masih lagi proaktif dalam usaha memujuk dan meyakinkan serta memberi kesedaran kepada masyarakat orang asli untuk menerima vaksinasi sehingga kesemua baki seramai 4,449 orang menerima vaksin Covid-19.

“Ada dalam kalangan mereka ini yang memang tidak mahu divaksin walaupun telah dipujuk kerana takut atau terpengaruh dengan berita tidak tepat menerusi media sosial mengenai kesan vaksin. Itu adalah cabaran kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 12 individu orang asli telah meninggal dunia akibat Covid-19 dengan keseluruhan 449 orang disahkan positif wabak itu setakat ini.

Shahrani berkata pengebumian masyarakat orang asli yang meninggal dunia akibat Covid-19 akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) secara percuma.

Artikel Berkaitan:

“Bagi bukan beragama Islam, keluarga yang mampu akan membiayai kos pengebumian dan diuruskan badan bukan kerajaan dengan kos RM1,500 manakala mereka yang tidak berkemampuan akan dibantu KKM melibatkan ambulans jenazah hingga ke tanah perkuburan selain turut dibantu masyarakat orang asli di bawah seliaan KKM,” katanya. - Bernama