Wang simpanan RM24,291 lesap, komisen pun tak dapat

Gambar hiasan 123rf
Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KUANTAN - Bukan sahaja hasrat seorang penganggur untuk mendapat pekerjaan tidak kesampaian, malah wang simpanan berjumlah RM24,291 miliknya lebur selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menawarkan pekerjaan tidak wujud pada 20 Ogos lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 41 tahun berminat untuk mendapatkan pekerjaan itu selepas melihat iklan tawaran kerja sambilan di laman sosial Facebook miliknya.

Menurutnya, mangsa telah menekan link iklan tersebut bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran pekerjaan itu menerusi pesanan aplikasi WhatsApp suspek.

“Setelah berhubung, suspek menawarkan kerja sambilan yang menguntungkan dengan membayar komisen sehingga 10 peratus jika tugasan yang diberikan berjaya diselesaikan oleh mangsa, namun suspek meminta mangsa membayar RM3,000 terlebih dahulu sebagai wang proses yang akan dipulangkan.

“Pada Jumaat lalu, suspek meminta mangsa membuat tugasan dan bagi tugasan pertama serta kedua dan mangsa berjaya memperoleh kembali wang proses dibayarnya berserta komisen,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Wazir berkata, namun begitu suspek mula meneruskan modus operandinya dengan memberi tugasan berikutnya bagi memastikan mangsa kerugian.

Jelasnya, mangsa kemudian telah diberikan sebanyak 12 tugasan lagi selain perlu membayar wang proses untuk tugasan berkenaan.

“Mangsa seterusnya telah memasukkan wang ke tiga akaun bank yang berbeza dengan 12 transaksi berjumlah RM24,291.

Artikel Berkaitan:

“Namun sehingga kini mangsa masih belum menerima wang proses ini kembali selain komisen yang dijanjikan suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang merasakan dirinya ditipu oleh sindiket berkenaan telah membuat laporan mengenai penipuan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.