X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

'Tidak perlu pertikai kewajaran pelantikan kabinet'

Shamsul Amri. - Foto Awani
A
A

KUALA LUMPUR - Senarai barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat tidak perlu dipertikaikan kewajarannya atau dilihat dari kaca mata politik seperti sebelumnya.

Menurut Presiden Majlis Profesor Negara, Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin, penentuan kepada kewajaran atau kelayakan kepimpinan tersebut akan ditentukan oleh dua fokus utama iaitu Covid-19 dan ekonomi.

“Saya rasa, apa yang sangat penting kita lihat ialah, bagaimana tujuan serampang dua mata, iaitu ekonomi dan kesihatan, boleh dipenuhi oleh kabinet ini.

“Jadi, saya nampak perubahan-perubahan itu berlaku adalah dalam konteks untuk mencapai penyelesaian terhadap dua masalah itu, yang telah dan sedang berjalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, percaturan politik tidak dapat dielakkan dalam penubuhan setiap kerajaan baharu memandangkan ia adalah corak politik yang diamalkan sejak sekian lama.

“Dari satu sudut, kita akan dapat melihat sisi kebaikan daripada situasi ini kerana penilaian segera akan terus dilakukan oleh rakyat, sejauh mana kemampuan tawaran menyelesaikan krisis negara ini.

“Seperti yang kita lihat, apa yang berlaku pada tiga bulan lalu dan apa yang berlaku sekarang.

Itu kelebihan keadaan ini. Kerana, kita akan menilai apa yang beliau (Ismail Sabri) mampu capai,” jelasnya.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan pembentukan kabinet membabitkan pelantikan seramai 31 menteri, termasuk empat menteri kanan, dan 38 timbalan menteri. -Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!