X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Pelantikan ahli kabinet baharu tidak beri sinar untuk rakyat

Kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat disifatkan sebagai proses rombakan kabinet dengan majoriti untuk mengekalkan jawatan mereka dalam kerajaan.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan berkata, pelantikan tersebut tidak mampu memberikan sinar harapan kepada rakyat, apatah lagi dengan pelantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan baharu.

Menurutnya, Menteri Wilayah Persekutuan yang dilantik perlu tinggal dan bergaul dengan masyarakat setempat setiap hari, namun Shahidan didakwa tidak dapat menyelami kehidupan rakyat miskin bandar di Kuala Lumpur.

“Suka saya ingatkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, ada beberapa isu yang sepatutnya diberikan tumpuan sepenuhnya.

“Perancangan jangka pendek dan panjang harus segera dirangka untuk isu kemiskinan bandar, keciciran pembelajaran kanak-kanak B40, kehilangan pendapatan harian penjaja bandar, serta isu kehilangan pekerjaan.

“Dalam tempoh 100 hari, beliau sepatutnya telah merangka perancangan tindakan untuk semua isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zahir berkata, segala permasalahan tersebut memerlukan tekad politik untuk perubahan dan tindakan yang mencabar status quo.

Namun begitu, beliau khuatir bahawa rakyat Wilayah Persekutuan cuma boleh mengharapkan pertukaran kerajaan di pilihan raya akan datang melihatkan kepada pencapaian politik Shahidan selama ini.

Pada Jumaat, Ismail Sabri mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, serta 38 timbalan menteri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!