SPR minta penguat kuasa henti aktiviti raih undi serta-merta

Petugas pilihan raya dan anggota keselamatan mengawal aktiviti meraih undi. - Foto Sinar Harian oleh ZAHID IZZANI
Petugas pilihan raya dan anggota keselamatan mengawal aktiviti meraih undi. - Foto Sinar Harian oleh ZAHID IZZANI
A
A
A

SEMENYIH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah meminta pihak berkuasa untuk mengarahkan supaya aktiviti meraih undi berdekatan kawasan pusat pengundian dihentikan serta-merta, kata Pengerusinya Azhar Azizan Harun.

“Saya difahamkan terdapat peraih undi yang meminta pengundi untuk mengundi sesuatu parti. Kita telah arahkan pihak penguat kuasa untuk memberitahu mereka bagi menghentikan aktiviti tersebut serta merta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata SPR juga menerima laporan terdapat barung atau pondok panas yang didirikan kawasan pusat pengundian dan juga telah mengarahkan aktiviti meraih undi dihentikan serta merta.

Katanya adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak membina pondok panas bukan sahaja di kawasan 50 meter dari pusat mengundi, malah di mana-mana sahaja.

“Tetapi kita (SPR) benarkan pondok rehat di luar kawasan 50 meter tetapi pondok itu tidak boleh digunakan untuk membuat apa-apa aktiviti meraih undi atau berkempen.

Itu pondok rehat hanya boleh jadi untuk petugas-petugas makan dan minum. Aktiviti parti tidak dibenarkan sama sekali di pondok rehat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: