X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Faizal Azumu bukan nama asing dalam arena sukan

Ahmad Faizal Azumu
A
A

DENGAN pengalaman yang dimiliki, Menteri Belia dan Sukan baharu dilantik, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bukanlah individu asing dalam arena sukan negara, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau yang menyambut baik pelantikan Ahmad Faizal berkata, penglibatan Ahli Parlimen Tambun itu dalam bidang sukan terbukti selepas mengemudi kejayaan Perak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Beliau berkata, Ahmad Faizal turut diyakini mampu menghidupkan semangat ‘Keluarga Malaysia' yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum bersama-sama untuk memulihkan semula keadaan negara.

"Pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah tentu akan membawa semangat Keluarga Malaysia ke dalam komuniti sukan negara, sepertimana kita maklum bahawa sukan adalah hak milik Keluarga Malaysia keseluruhannya," katanya pada Jumaat.

Ahad lalu, Ismail Sabri dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan dilaporkan berkata, konsep Keluarga Malaysia digunakan kerana frasa itu bersifat lebih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Pelantikan bekas Menteri Besar Perak yang pernah menyandang jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) itu turut disambut baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan harapan industri sukan negara terus dibela, selain sukan bola sepak mendapat perhatian sewajarnya.

"Semoga kehadiran Datuk Seri (Ahmad Faizal) dalam keluarga sukan negara akan sama-sama dapat membantu memperkasa dan meningkatkan lagi tahap industri sukan di Malaysia termasuk membantu FAM dalam memartabatkan bola sepak negara," kata FAM dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada Ahmad Faizal dalam usaha ke arah kecemerlangan sukan negara khususnya saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Semoga dengan pengalaman, kepimpinan dan kewibawaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengangkat sukan negara ke aras yang lebih cemerlang di persada antarabangsa," menurut MFL.

Ahmad Faizal yang lebih mesra disapa sebagai ‘Peja’ merupakan antara dua muka baharu dalam barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' yang diumumkan Ismail Sabri di Perdana Putra hari ini, dan beliau akan dibantu Senator Datuk Seri Ti Lian Ker yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) antara yang turut menyambut baik perkembangan itu di laman Twitter masing-masing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!