Lelaki OKU popular nasihat dalam loghat NS tular

Mohd Rusli.
Mohd Rusli.
A
A
A

JEMPOL - Nota suaranya di aplikasi WhatsApp dalam loghat Negeri Sembilan yang memberi nasihat berhubung prosedur operasi standard (SOP) pernah tular ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama tahun lalu.

Kebolehan itu menjadikan pemilik suara berkenaan, Mohd Rusli Abdullah, 54, mula dikenali dan pernah ada 350 kumpulan WhatsApp selain ramai yang meminta untuk mengambil gambar ketika dia sedang berniaga buah dan sayuran.

Mohd Rusli atau lebih dikenali sebagai Suli berkata, ada peminatnya yang meminta untuk merakamkan suara di telefon bimbit mereka supaya dapat dihantar kepada kumpulan WhatsApp keluarga mereka kerana teruja mendengar dan berkongsi suara saya.

"Sebagai rakyat biasa mempunyai lebih 300 kumpulan WhatsApp itu banyak malah ada juga yang memasukkan nombor saya ke dalam kumpulan dari Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menerima sumbangan bakul rezeki Myfundaction sempena program ‘Info On Wheels’ (IOW) Merdeka di kediamannya di Kampung Kuala Jempol pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Pentadbir Tanah Pejabat daerah Jempol, Zulkiflee Mohamad @ Haniffa.

Suli memberitahu, layanan hanya kepada yang sempat dan kadang-kadang terpaksa memadamnya kerana terlalu banyak mesej yang perlu dijawab.

Mohd Rusli (berkerusi roda) ketika menerima sumbangan berkenaan di kediamannya pada Jumaat.
Mohd Rusli (berkerusi roda) ketika menerima sumbangan berkenaan di kediamannya pada Jumaat.

"Saya tidak pernah rasa terganggu dengan kehadiran banyak kumpulan WhatsApp malah gembira kerana dapat menambah kenalan baru dan mereka semuanya baik-baik belaka," katanya yang ketika ini hanya ada lebih 60 kumpulan WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, kini semuanya tinggal kenangan berikutan telefon pintarnya dicuri empat hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu selepas tertidur di dalam kereta di tempat letak kereta berdekatan Taman Tuanku Ampuan Chik, Bahau.

"Ketika itu saya baru selesai minum di sebuah kedai makan dan sempat membalas mesej rakan-rakan namun hanya tersedar kira-kira jam 4 pagi dan mendapati telefon di curi.

"Selepas dua hari baru saya dapat maklumkan kepada rakan-rakan terdekat berhubung kejadian termasuk memberitahu kejadian itu di Facebook," katanya.

Rusli yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) telah kehilangan sebelah kaki akibat kencing manis yang sebelum ini mampu bekerja dengan mengambil upah mesin rumput dan membuka sebuah warung minum di hadapan rumah.

"Selepas kaki dipotong saya masih meneruskan pekerjaan dengan berniaga buah-buahan dan sayur-sayuran kampung sekitar Jempol.

"Saya mendapat bantuan sebanyak RM250 sebulan masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal RM250 serta barangan dapur," katanya.