Najib pertahan kabinet Ismail Sabri

 Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan kabinet baharu yang dibentuk oleh Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, meskipun menyedari ramai pihak kecewa dengan senarai tersebut, namun beliau berpendapat keputusan yang diambil oleh Ismail Sabri itu adalah sesuatu yang boleh difahami.

“Saya perhati ramai yang kecewa dengan pengumuman kabinet baharu hari ini. Seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama dan ini adalah kabinet kitar semula.

“Bagaimanapun, saya faham kenapa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berikut. Agar mengelak perubahan terlalu besar dilakukan ketika tempoh kritikal ini

“Walaupun begitu, sebenarnya hampir separuh kementerian kerajaan telah bertukar pemimpin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Ismail Sabri pada Jumaat mengumumkan senarai barisan kabinetnya yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Najib berkata, perubahan kepimpinan itu antaranya melibatkan Kementerian Luar Negeri; Kesihatan; Pertahanan; Sains, Teknologi dan Inovasi; Komunikasi dan Multimedia; Wilayah Persekutuan; Tenaga dan Sumber Asli; Pembangunan Luar Bandar; Belia dan Sukan serta Usahawan dan Koperasi.

Menurutnya, pertukaran turut berlaku bagi beberapa jawatan menteri di Jabatan Penteri Menteri seperti Menteri Agama, Undang-undang dan Tugas-tugas Khas.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga yakin dasar yang digunakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani Covid-19 akan turut berubah memandangkan berlakunya pertukaran terhadap individu yang menerajui majlis tersebut.

“Jika ada yang masih mahu buka pintu belakang, ketua MKN baharu yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir perlaksanaan dasar akan menghalangnya.

“Jadi, harapan saya satu sahaja. Bahawa kabinet hari ini perlu berdasarkan hasil dan pencapaian serta Perdana Menteri akan menggugurkan menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu.

“Insya-ALLAH, saya akan membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara dari segi Covid-19, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.