Petronas catat untung suku kedua, perolehan naik 68 peratus

Petronas
Petronas
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM9.6 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berikutan pendapatan yang lebih baik dan susut nilai yang rendah berbanding kerugian bersih sebanyak RM21 bilion pada suku tahun sama tahun lepas.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha berkata pendapatan yang lebih kukuh dicatatkan pada suku tahun tersebut sejajar dengan pendapatan lebih tinggi sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kerugian susut nilai yang rendah dicatatkan dalam tempoh tersebut.

“Usaha kami yang berterusan untuk mengekalkan dan mengukuhkan mudah tunai telah menghasilkan aliran tunai yang kukuh daripada operasi sebanyak RM32.7 bilion pada separuh pertama tahun ini. Ini memberikan mudah tunai yang baik untuk pelaburan modal kumpulan,” katanya pada pembentangan laporan prestasi kewangan kumpulan untuk separuh pertama tahun ini yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Pada suku kedua, EBITDA berjumlah RM23.2 bilion, meningkat sebanyak RM14.1 bilion daripada RM9.1 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020, sejajar dengan perolehan yang lebih tinggi tetapi sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan perbelanjaan operasi yang tinggi.

Perolehan pada suku tahun itu naik 68 peratus kepada RM57.1 bilion, daripada RM34 bilion pada suku tahun sama tahun lepas, didorong oleh impak yang baik terhadap harga produk utama dan jumlah jualan yang lebih tinggi untuk LNG dan produk petroleum.

Pada separuh pertama 2021, keuntungan bersih Petronas meningkat lebih 100 peratus kepada RM18.9 bilion berbanding kerugian bersih sebanyak RM16.5 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, sejajar dengan EBITDA yang lebih tinggi dan kerugian susut nilai yang rendah berikutan trend harga yang meningkat.

EBITDA berjumlah RM46.1 bilion, naik sebanyak 57 peratus daripada RM29.4 bilion, berikutan perolehan lebih tinggi, selain perbelanjaan operasi yang rendah.

Perolehan untuk tempoh tersebut meningkat 17 peratus kepada RM109.6 bilion, daripada RM93.6 bilion pada separuh pertama 2020, sebahagian besarnya berikutan purata harga direalisasikan yang baik untuk produk utama dan impak jumlah jualan yang lebih tinggi, terutamanya dalam jualan gas asli cecair (LNG) dan gas.

Artikel Berkaitan:

Aliran tunai daripada aktiviti operasi sehingga 30 Jun, 2021 naik sebanyak 24 peratus kepada RM32.7 bilion daripada RM26.3 bilion sebelum ini, berikutan keuntungan operasi tunai yang lebih tinggi.

Jumlah aset Petronas mengukuh kepada RM609.1 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM574.1 bilion sehingga 31 Dis, 2020, disumbangkan oleh pelaburan dana dan tunai yang lebih tinggi.

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM331.1 bilion berbanding RM330.6 bilion sehingga 31 Dis, 2020, disebabkan keuntungan yang dicatatkan dalam tempoh tersebut.

Bagi perniagaan huluan Petronas, jumlah pengeluaran harian bahagian itu pada purata 2.345 juta tong bersamaan minyak (boe) sehari dicatatkan pada separuh pertama tahun ini, lebih tinggi daripada 2.255 juta boe sehari dicatatkan dalam tempoh sama sebelum ini.

Liza berkata, ini sebahagian besarnya didorong oleh pengeluaran gas yang lebih tinggi berikutan permintaan yang tinggi, dalam operasi domestik dan antarabangsa.

Perniagaan hiliran mencatatkan operasi yang stabil pada separuh pertama 2021, dengan keberkesanan keseluruhan peralatan mencatatkan 93.1 peratus, sama dengan tempoh yang sama tahun lepas, berikutan kebolehpercayaan loji yang kukuh walaupun terdapat sekatan perintah kawalan pergerakan.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Petronas berjaya menghantar lebih 11,790 kargo LNG dari Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu. Kumpulan turut mencatatkan jualan LNG sebanyak 3.17 juta tan setahun. - Bernama