Axiata catat keputusan kewangan lebih 100 peratus pada 2021

Izzaddin (kiri) dan Vivek semasa sesi pembentangan keputusan kewangan suku kedua 2021 secara maya pada Jumaat.
Izzaddin (kiri) dan Vivek semasa sesi pembentangan keputusan kewangan suku kedua 2021 secara maya pada Jumaat.
A
A
A

AXIATA Group Berhad (Axiata) mencatatkan keputusan kewangan memberangsangkan dengan mencapai untung bersih melebihi 100 peratus pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21).

Keuntungan bersih Axiata melonjak kepada RM277.8 juta berbanding hanya RM80 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, berdasarkan makluman Axiata di Bursa Malaysia, hasil kumpulan pada suku tahun semasa pula berkembang sebanyak 10.3 peratus kepada RM6.4 bilion daripada RM5.8 bilion yang dicatatkan pada 2020 (2QFY20).

Beliau berkata, Kumpulan Axiata mencatatkan hasil berjumlah RM12,454.1 juta bagi tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini (YTD), mewakili 5.3 peratus peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu walaupun terdapat pelbagai bentuk penguatkuasaan antaranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 8.2 peratus kepada RM5,502.7 juta dengan peningkatan ketara daripada kesemua operasi syarikat kecuali operasi mudah alih di Indonesia dan Bangladesh.

"Bagi suku tahun semasa, Axiata mengumumkan dividen interim pada kadar 4.0 sen sesaham dan tarikh agihan tersebut akan ditentukan kelak.

"Aliran tunai bebas kumpulan turut melonjak sebanyak 26.4 peratus YTD kepada RM1.6 bilion apabila dipacu oleh EBITDA lebih tinggi dan kos kewangan bersih yang lebih rendah," katanya pada sesi pembentangan keputusan kewangan suku kedua 2021 secara maya pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan Kumpulan Axiata, Vivek Sood.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Izzaddin berkata, kerugian bersih Axiata Digital pula menyusut sebanyak 65.1 peratus disumbangkan oleh perbelanjaan pemasaran untuk perkhidmatan digital yang lebih rendah dan ditambah keuntungan Analisis Digital & AI (ADA) lebih tinggi.

Pada masa sama, beliau berkata, tempoh pemulihan itu meletakkan pihaknya dalam landasan lebih baik di saat kumpulan sedang melaksanakan langkah-langkah untuk menambah kapasiti dan menjadikan perkhidmatan rangkaian lebih moden.

"Sebilangan besar syarikat yang beroperasi menonjolkan prestasi kukuh pada suku tahun semasa, ini termasuklah Celcom yang terus mencatatkan keuntungan yang dipacu oleh program transformasi digital.

“Separuh pertama tahun ini adalah mengenai pelaksanaan Axiata 5.0 secara berdisiplin, dan pencapaian ini hanyalah permulaan selaras dengan matlamat kami untuk menjadi syarikat dividen tinggi dan Juara Digital Generasi Seterusnya menjelang 2024," kata beliau.