X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Lantikan enam pemimpin pengiktirafan kepada Sabah

Bung Moktar Radin
A
A

KOTA KINABALU - Pelantikan enam pemimpin dari Sabah membabitkan dua menteri penuh dan empat timbalan menteri disifatkan sebagai pengiktirafan untuk rakyat Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap barisan kepimpinan kabinet baharu itu mampu mewujudkan satu pasukan yang mantap dan berwibawa sebagaimana yang ditekankan oleh Perdana Menteri.

"Kabinet ini adalah satu pasukan pengurusan yang akan bekerjasama bersama rakyat dan perlu bertindak pantas serta bersepadu.

"Kita sedar dan insaf, ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada kabinet baharu ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pembentukan kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kejayaan sesebuah kabinet bergantung kepada kerjasama semua pihak.

"Ahli kabinet perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan telus demi kepentingan rakyat.

"Selain itu, strategi pelaksanaan penting dalam memastikan kedudukan institusi kerajaan kukuh dan diperkasakan di mata rakyat di mana negara perlu ditadbir secara strategik agar pentadbiran baharu ini dapat membawa negara ke landasan ekonomi yang betul serta dapat mengawal penularan pandemik Covid-19.

"Kita juga mengharapkan kabinet baharu ini perlu mempunyai satu idea baharu disusuli dengan tindakan-tindakan yang pantas. Rakyat mahu apabila sesuatu itu diumumkan, kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya, bukannya menunggu lagi,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung pelantikan Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, Bung Mokhtar berkata, beliau adalah satu-satunya pemimpin yang mewakili UMNO Sabah.

Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan kepada UMNO Sabah sebagai gabungan utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

"Pelantikan ini kita amat hargai dan bertepatan dengan isu-isu pendidikan yang masih menjadi cabaran kita di Sabah dan berharap beliau akan lebih memahami isu dan keperluan pendidikan di Sabah untuk disuarakan secara langsung kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan, " katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!