Lengkap vaksin: MFA rayu pekerja kembali bekerja sebelum 14 hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Persatuan Perabot Muar (MFA) merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah itu membenarkan pekerja kilang yang sudah lengkap dos kedua vaksin Covid-19 kembali bekerja tanpa perlu menunggu tempoh 14 hari selepas vaksinasi.

Presiden MFA, Steve Ong berkata, berdasarkan Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan dengan jelas bahawa pekerja yang telah menerima dua dos vaksin didefinisikan sebagai lengkap divaksin dan dibenarkan bekerja tanpa perlu menunggu tempoh tersebut.

“Dalam garis panduan Soalan Lazim MITI juga dinyatakan bahawa pekerja tidak dipaksa untuk menunggu selama 14 hari selepas lengkap divaksin.

“Namun, apa yang mengelirukan kami mengapa PBT Muar tetap mengekalkan keputusan bahawa pekerja yang lengkap divaksin wajib menunggu tempoh tersebut sebelum kembali bekerja,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat

Beliau berkata, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang turut berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah mengikut garis panduan MITI, iaitu industri bukan dalam perkhidmatan perlu atau non-essential dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja lengkap divaksin dan menyenaraikannya di dalam CIMS selain memohon dokumen kelulusan CIMS dan beroperasi mengikut kadar peratusan pengoperasian tanpa perlu menunggu 14 hari.

Katanya, terdapat banyak syarikat terutama perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PPN hampir tiga bulan akibat pandemik Covid-19.

“Aliran modal mereka terhad dan kini berada dalam keadaan yang amat kritikal,” katanya.

Artikel Berkaitan: