15 pusat petugas hadapan terima sumbangan makanan RM4.4 juta

MAIWP serahkan sumbangan kit barangan makanan bernilai RM4,447,800 kepada 15 pusat petugas barisan hadapan.
MAIWP serahkan sumbangan kit barangan makanan bernilai RM4,447,800 kepada 15 pusat petugas barisan hadapan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyerahkan sumbangan kit barangan makanan bernilai RM4,447,800 kepada 15 pusat petugas barisan hadapan bagi menghargai komitmen mereka yang bertungkus lumus memerangi Covid-19.

MAIWP dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pusat yang terlibat ialah sembilan buah pusat mengendalikan kes yang disyaki (PUI) dan kes sah Covid-19, sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) serta lima pusat pengambilan sampel Covid-19 di sekitar ibu negara.

Inisiatif itu bagi menghargai usaha doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang memikul tanggungjawab di luar kebiasaan selain perlu menghadapi risiko jangkitan tertinggi ketika merawat pesakit Covid-19.

“Agihan barangan makanan ini telah dilaksanakan bermula Julai hingga Disember. Ini sebagai tanda penghargaan atas kesediaan mereka meletakkan diri dalam risiko jangkitan demi amanah kepada agama dan negara,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar menyampaikan replika cek sebagai simbolik penyerahan sumbangan kit makanan itu kepada Timbalan Pengarah Klinikal (Perubatan) PPUM Malaya Dr Mohmmad Salleh Yahya yang mewakili Pusat Petugas Barisan Hadapan hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: