Idris Ahmad muka baharu dalam kabinet

Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad merupakan antara muka baharu dalam kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Anak jati Kampung Sungai Petai, Bukit Gantang, Perak, yang berusia 58 tahun itu bukan nama asing dalam arena politik malah banyak berpengalaman selain diberi pelbagai tanggungjawab besar dalam Pas menerusi beberapa lantikan jawatan.

Bekas pensyarah Pendidikan Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula berjinak-jinak dalam politik dengan menyertai Pas dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Pemuda Pas.

Pada 1997, beliau pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) Changkat Jering (Perak) dan Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) di Parlimen Jerlun (Kedah) namun tewas kedua-duanya.

Pada PRU13 (2013), pendakwah itu bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang (Perak) selepas menewaskan Datuk Ismail Saffian mewakili Barisan Nasional (BN) namun bertahan hanya sepenggal apabila gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU14.

Idris banyak diberi kepercayaan menjawat beberapa jawatan dalam Pas termasuk Naib Ketua Pemuda Pas pada 2001, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat selama beberapa penggal, Ketua Penerangan Pas (penggal 2009/2011) dan kini sebagai naib presiden parti.

Pada 2020, beliau dilantik sebagai Senator bagi penggal bermula 16 Jun hingga 15 Jun 2023.

Biodata Idris Ahmad

Nama: Idris Ahmad

Artikel Berkaitan:

Umur: 58 tahun

Tempat lahir: Kampung Sungai Petai, Bukit Gantang, Perak

Pendidikan:

Ijazah Sarjana dan Sarjana Pengajian Islam (Pangajian Dakwah & Kepimpinan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Kerjaya Politik:

2001: Naib Ketua Pemuda Pas

2007/2009: Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (CWC)

2009/2011: Ketua Penerangan Pas

2011/2013: Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

2013/2015: Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat

2019/2021: Naib Presiden Pas