Kabinet baharu: Wanita Amanah kecewa Azalina tidak tersenarai

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Wanita Amanah Nasional kecewa apabila Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak tersenarai sebagai salah seorang menteri dalam barisan kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, Azalina sewajarnya diberi posisi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang) kerana sikapnya yang lebih progresif dan wajar mengisi jawatan itu.

“Terdapat banyak RUU (Rang Undang-Undang) yang berkepentingan awam yang perlu diperkenalkan dan dipinda, dan beliau adalah salah seorang yang berfikiran segar, matang dan objektif," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau turut menyifatkan pelantikan barisan kabinet baharu tanpa penyertaan Ahli Parlimen Pengerang itu adalah satu kerugian.

Aiman Athirah Al Jundi
Aiman Athirah Al Jundi

Justeru, beliau berharap Azalina dapat diberi peluang mengisi jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan 'speaker gagalis' sedia ada yang sangat-sangat mengecewakan.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Pengerang itu mencadangkan supaya kerusi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dikosongkan beliau Isnin lalu, diisi oleh ahli Parlimen pembangkang.

Azalina berkata, ia adalah satu langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan Dewan Rakyat benar-benar dapat berfungsi sebagai forum bagi persaingan dan kerjasama profesional antara parti, mengenai dasar dan tadbir urus negara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, usul berhubung lantikan itu perlu dikemukakan oleh pihak kerajaan supaya ia benar-benar menepati kehendak kerjasama pelbagai parti, selain menjadi peluang terbaik kepada Perdana Menteri untuk memberi isyarat ke arah perubahan.