Selangor terima pelaburan RM26 juta sektor pembuatan

Teng Chang Khim
Teng Chang Khim
A
A
A

SHAH ALAM – Sebanyak dua projek perkilangan bagi sektor pembuatan peralatan perubatan telah diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM26 juta bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, daripada jumlah itu, sejumlah RM14 juta pelaburan produk berkenaan melibatkan pelaburan tempatan manakala RM12 juta pula membabitkan pelaburan asing.

Beliau berkata, mengikut kelulusan dibuat oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sektor pembuatan peralatan perubatan merupakan salah satu industri di bawah produk Scientific & Measuring Equipment.

“Di samping itu, promosi pelaburan bagi barangan perubatan turut diberi perhatian di bawah Kluster Sains Hayat (Life Sciences) yang merupakan salah satu daripada lima kluster yang diberi penumpuan oleh Invest Selangor,” katanya sewaktu sesi penggulungan Pesidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini pada Jumaat.

Chang Khim berkata demikian bagi menjawab cadangan dibangkitkan Lau Weng San (DAP-Banting) yang mengesyorkan kerajaan negeri merangka strategi bagi memberi tumpuan untuk menarik pelaburan dalam industri pembuatan peralatan perubatan berteknologi tinggi (high end equipment).

Dalam pada itu, Chang Khim berkata, kerajaan negeri menerusi Invest Selangor juga akan menganjurkan Selangor International Expo (MEDIC) (SIE MEDIC 2021) yang merupakan salah satu komponen di dalam acara Selangor International Bussines Summit 2021 (SIBS 2021) menjelang penganjurannya pada 18 sehingga 21 November 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“SIE Medic ini akan menghimpunkan pemain-pemain dari industri bekalan peralatan perubatan dan diagnostik, penjagaan kesihatan, farmasi, hospital yang mempromosikan dan mempamerkan perkhidmatan kesihatan terkini.

“Serentak dengan pameran ini juga, kita akan mengadakan Persidangan Perubatan Antarabangsa Selangor dengan 3 tema utama; vaksinasi, penjagaan warga emas dan kesihatan digital,” katanya.

Artikel Berkaitan: