Tiga lelaki teroka tanah haram sempat larikan diri

Beberapa batang kayu yang diproses daripada pokok balak yang ditebang turut ditemui di kawasan hutan di kompartment 3, Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
Beberapa batang kayu yang diproses daripada pokok balak yang ditebang turut ditemui di kawasan hutan di kompartment 3, Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga lelaki yang dipercayai meneroka tanah secara haram di kompartment 3, Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, dekat sini sempat melarikan diri ketika serbuan dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada petang Khamis.

Pengarah JPNK, Muhamad Abdullah berkata, pihaknya percaya tiga lelaki berusia 30-an itu adalah penduduk yang tinggal di sekitar Jeneri, Sik.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan pada jam 3.30 petang itu menemukan kira-kira lapan hektar tanah yang sudahpun ditarah dan dipercayai dilakukan sejak sebulan lalu.

"Kerugian yang dialami akibat penerokaan haram ini mencecah ratusan ribu ringgit.

"Antara pokok balak yang ditebang adalah jenis meranti, tembaga, kelat, medang dan jelutong. Beberapa batang kayu yang diproses daripada pokok balak yang ditebang turut ditemui di kawasan hutan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

Katanya, jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan masing-masing memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Siasatan awal mendapati kesemua lelaki terbabit melakukan kegiatan itu pada hujung minggu dan hari cuti umum. Sebanyak 320 pokok kelapa sawit yang baru ditanam turut dikesan di hutan berkenaan dan JPNK sudahpun memusnahkan pokok-pokok tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Laporan polis turut dibuat berkaitan tindakan memusnahkan tanaman berkenaan dan kami merancang untuk menaman semula pokok-pokok hutan di kawasan itu menerusi program Restorasi Hutan," ujarnya.

Muhamad berkata, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan dari masa ke masa di kawasan penerokaan dan kawasan 'hot spot' bagi membendung aktiviti pencerobohan dan penerokaan yang semakin serius.