Penahanan ahli kumpulan Abu Sayyaf tiada kaitan ahli politik

Hazani ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Hazani ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerjanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - [DIKEMASKINI] Polis Sabah menafikan dakwaan penahanan kumpulan militan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan baru-baru ini ada kaitan dengan ahli politik di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, penahanan itu sebaliknya berkaitan tindakan pemilik atau pengurusan ladang yang menggaji pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Punca sebenar ialah tindakan pemilik ladang atau pengurusan syarikat yang mengambil pekerja warga asing tanpa pemeriksaan sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada Jumaat.

Hazani memberitahu, cara itu memudahkan anggota Abu Sayyaf melakukan penyamaran di sebalik pekerjaan sebagai pekerja biasa sebelum merancang kegiatan jenayah terutama penculikan seperti berlaku di Beaufort dan Sandakan.

"Pihak pengurusan syarikat ladang sepatutnya memastikan pekerja mempunyai dokumen dan identiti lengkap mengenai pekerja mereka," katanya.

Beliau turut menasihatkan pemilik ladang tidak hanya mengutamakan keuntungan tetapi menjaga keselamatan diri dan negara.

"Majikan akan berdepan tindakan mengikut Seksyen 55 Akta Imigresen jika gagal mematuhi undang-undang," katanya.

Insiden membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf sebelum ini tular di media sosial dengan mengaitkan seorang individu dikatakan pengikut kepada seorang ahli politik di negeri ini.

Artikel Berkaitan: