Shamsubahrin mengaku tidak bersalah terima suapan RM10,000

Shamsubahrin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas kesalahan menerima suapan wang tunai RM10,000 kononnya bagi menyelesaikan satu kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - Foto Bernama
Shamsubahrin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas kesalahan menerima suapan wang tunai RM10,000 kononnya bagi menyelesaikan satu kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi Datuk Shamsubahrin Ismail pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM10,000 kononnya bagi menyelesaikan satu kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Tertuduh yang berumur 55 tahun membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

Shamsubahrin, yang berkerusi roda didakwa secara rasuah menerima suapan untuk dirinya iaitu wang tunai RM10,000 melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Yusfazila Md Yusoff, 38, sebagai dorongan untuk tertuduh menyelesaikan kes Azizan Mohamed Yasin di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Ahli perniagaan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmBank, Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada 1.47 tengah hari, 4 Mac lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Sesyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Sesyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM Abd Muntaqim Abdul Aziz menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor, yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai lima orang anak.

"Anak guam saya juga mempunyai masalah kesihatan kronik seperti buah pinggang dan kanser," kata peguam itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - Bernama