TMJ tiba di Bukit Timbalan, bincang isu guru tolak vaksin

Kenderaan yang membawa Tunku Ismail tiba di Bukit Timbalan pada kira-kira jam 3.20 petang pada Jumaat.
Kenderaan yang membawa Tunku Ismail tiba di Bukit Timbalan pada kira-kira jam 3.20 petang pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim tiba di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan bagi menerima menghadap Pemangku Pengarah Pelajaran Johor berhubung isu 779 guru yang menolak vaksin Covid-19 di negeri ini.

Kenderaan membawa Tunku Ismail dilihat memasuki pintu pagar utama Bangunan Sultan Ibrahim kira-kira jam 3.20 petang pada Jumaat dengan diiringi beberapa kenderaan.

Difahamkan, hanya wakil guru yang hadir pada sesi pertemuan terbabit berikutan situasi semasa kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat di Johor.

Pada Isnin lalu, Tunku Ismail dilaporkan berkenan menerima menghadap Pengarah Pendidikan Johor berhubung isu 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19 bagi mencari penyelesaian perkara terbabit.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook HRH Crown Prince of Johor pada Isnin, baginda bertitah pertemuan itu turut akan disertai Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Sebelum itu, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang memaklumkan kira-kira 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19 bagi menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 Ahad lalu.

Mazlan dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan tentang kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit menerima vaksin.

Artikel Berkaitan: